MPKK Perai wujudkan kebun komuniti lestari, bantu isi rumah kurang mampu

Admin
perai 5

MAJLIS Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Perai bersama-sama penduduk lokal mengambil inisiatif mewujudkan kebun komuniti yang ternyata memberi impak positif bukan sahaja dari segi sosioekonomi bahkan meningkatkan kesedaran mengenai amalan ekologi baik melalui aktiviti bercucuk tanam.

 

 

Baru-baru ini, wartawan Buletin Mutiara berkesempatan untuk menemu bual Pengerusi MPKK Perai, S. Sri Sangar untuk mengetahui dengan lebih lanjut berhubung inisiatif yang dilihat mampu menyumbang ke arah persekitaran yang lebih hijau dan mampan.

 

perai 7

S. Sri Sangar menunjukkan hasil tanaman yang diusahakan di sini.

 

Menurut Sri Sangar, Projek Kebun Komuniti MPKK Perai bermula apabila pihak MPKK memutuskan untuk membantu isi rumah setempat yang kurang berkemampuan dari segi pengurusan kos sara hidup harian.

 

 

“Sebelum ini, sayur-sayuran dan buah-buahan diperoleh melalui Mutiara Food Bank, walau bagaimanapun, setelah dua tahun, kami (MPKK) tidak mendapat apa-apa hasil, jadi kami memutuskan memulakan projek ini sendiri.

 

 

“Meskipun gagal pada permulaannya, kami tidak berputus asa dan kini hasilnya boleh dikongsi bukan sahaja kepada mereka yang memerlukan malah jiran tetangga di kawasan ini,” ujarnya.

 

 

Jelas Sri Sangar, walaupun kebun komuniti yang diusahakan ini tidak luas tetapi hasilnya boleh dikongsi dan dirasai oleh komuniti di sini.

 

 

“Terdapat lebih daripada 20 jenis tanaman di sini termasuk cili, terung, kacang panjang, pisang, betik, dan durian belanda.

 

perai 6

BENDI yang turut ditanam di kebun komuniti di sini.

 

“Di sini kami memanfaatkan keadaan tanah yang subur serta sistem pengairan yang baik untuk meningkatkan hasil.

 

 

“Kawasan kebun adalah lebih kurang 3,000 kaki persegi yang mana setiap inci tanah digunakan sepenuhnya untuk memastikan hasil yang maksimum.

 

 

“Sebagai permulaan projek, kami mengkompos tanah di sini dan kemudian menggunakan baja organik untuk tanaman,” katanya.

 

 

Selain itu, Sri Sangar memberitahu bahawa mereka perkenalkan sistem vermikompos untuk menghasilkan baja organik berkualiti tinggi menggunakan cacing tanah, yang kemudiannya dijual secara dalam talian.

 

 

“Vermikompos ini bukan sahaja membantu tanaman, tetapi juga memberi pendapatan tambahan kepada kami,” katanya lagi.

 

 

Tambah Sri Sangar lagi, sebagai langkah memperluaskan projek, pihaknya juga membangunkan kolam ikan yang dihubungkan dengan sistem pengairan tanaman untuk membentuk ekosistem bersepadu.

 

 

“Kami mahu memastikan semuanya lestari, jadi setiap bahagian projek saling menyokong antara satu sama lain,” katanya yang mahu projek kebun komuniti tersebut mendukung hasrat kerajaan ke arah kelestarian alam sekitar.

 

 

Semasa tinjauan Buletin Mutiara ke lokasi, Sri Sangar turut menjelaskan bahawa terdapat dua fasa dalam pelaksanaan projek kebun komuniti ini.

 

whatsapp image 2025 04 22 at 12.28.58 pm
PROSES penanaman sayur-sayuran yang sedang dijalankan kini.

 

 

 

“Projek ini kini berada pada penghujung Fasa 1 yang mana hasil tuaian akan dapat dinikmati nanti, dan kami merancang untuk memulakan Fasa 2 dalam masa terdekat.

 

 

“Kos keseluruhan bagi Projek Kebun Komuniti ini adalah sebanyak RM15,000 merangkumi pembelian bahan, peralatan, baja serta pembangunan sistem solar (bagi kamera litar tertutup,CCTV; lampu dan kipas) dan sistem pengairan khas.

 

 

“Projek ini sebenarnya menggunakan tenaga solar sepenuhnya untuk operasinya, termasuk kipas solar dan lampu solar yang dipasang bagi memastikan pengudaraan dan persekitaran yang terbaik di kawasan kebun.

 

 

“Dalam pada itu, sebahagian besar air yang digunakan untuk projek ini diperoleh daripada premis setempat iaitu Kondominium Prai Inai, dengan caj bulanan dibayar kepada pihak pengurusan kondominium tersebut.

 

 

“Kami memang berhati-hati dalam memilih sumber air, walaupun terdapat cadangan untuk menggunakan air longkang tetapi demi memastikan tanaman tumbuh dengan baik kami elakkan.

 

 

“Kami tidak mahu mengambil risiko. air longkang mungkin boleh digunakan, tetapi kami mahu pastikan sumber air kami bersih, selamat dan sesuai untuk tanaman,” jelasnya.

 

 

Bagi menjana lebih pendapatan, Sri Sangar menjelaskan bahawa pihak MPKK juga bercadang untuk membangunkan sebuah nurseri yang akan menjual hasil tanaman kepada masyarakat sebagai sumber pendapatan tambahan.

 

 

“Walaupun menghadapi cabaran dengan permohonan bantuan dari Pejabat Pertanian Daerah masih belum mendapat respon positif, saya tetap optimis dengan masa depan projek ini.

 

 

“Kami tidak meminta wang, hanya bantuan seperti baja dan tanaman tambahan, tetapi sehingga kini mereka masih belum datang melawat,” jelasnya.

 

 

Mengulas mengenai sokongan, Sri Sangar berkata bahawa projek tersebut juga disokong oleh Think City, iaitu sebuah organisasi yang memfokuskan peremajaan semula pada peringkat komuniti dan badan bukan kerajaan dikenali sebagai Cultivate Culture.

 

 

Think City dan Cultivate Culture telah melawat ke kebun komuniti ini dan mereka menyatakan minat untuk membantu.

 

 

“Mereka sangat kagum dengan usaha kami dan berjanji untuk membantu mengembangkan lagi projek ini,” katanya yang turut menghargai usaha dan titik peluh pasukan MPKK Perai bagi menjayakan projek berkenaan.

 

 

Sri Sangar juga menzahirkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai; Dato’ Seri S. Sundarajoo serta pasukannya dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), A. Ponnudurai; atas bantuan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap projek ini.

 

 

Bercakap mengenai harapan, Sri Sangar berharap Projek Kebun Komuniti ini dapat berkembang untuk memberi manfaat kepada lebih ramai keluarga dan menjadi model inspirasi bagi komuniti lain yang berminat dengan konsep pertanian bandar atau ‘urban farming’.

 

 

“Kami yakin dengan sokongan yang semakin bertambah, kami boleh membantu 30 hingga 40 keluarga yang memerlukan dan (inisiatif ini) menunjukkan bahawa komuniti boleh mencapai kejayaan jika berganding bahu,” katanya.

 

 

 

 

 

Oleh : M. DANESWARAN

Gambar : G.REVATIC