BERKAYUH sambil beramal, itu yang dihasratkan oleh MUHAMMAD TAMIZIE JIDIN, 39, pada 1 hingga 4 Oktober ini dalam misi mengutip dana untuk National Kidney Foundation (NKF) Malaysia.
Ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI, beliau memberitahu bahawa kayuhan tersebut akan bermula dari Seberang Jaya ke Sungai Petani, Kulim sebelum memasuki George Town untuk ke NKF dekat Jalan Hamilton.
“Lokasi yang saya singgah semuanya ada NKF, kiranya sambil kayuh saya akan menyantuni lokasi-lokasi yang terlibat.
“Sebenarnya saya sudah 12 tahun ‘buat kerja’ ini, bezanya sebelum ini saya pernah mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan motosikal sejauh 2,570 kilometer untuk tujuan melaksanakan misi ini.
“Tahun ini saya bawa sedikit kelainan memandangkan kekangan masa dan lain-lain, itu pun pada asalnya nak kayuh sampai ke Perlis tetapi gerabak kereta api yang bawa basikal sudah dipindahkan ke Ipoh, jadi terpaksa lupakan hasrat tersebut,” ujarnya ketika ditemui sedang bertugas di Stesen Minyak Petronas, Jalan Perusahaan, Perai di sini tengah hari tadi.
Untuk memulakan kayuhan amal, Muhammad Tamizie memaklumkan bahawa beliau perlu mendapatkan surat pengesahan daripada NKP terlebih dahulu.
Ia sebagai bukti bahawa kutipan amal tersebut adalah sah dan akan disalurkan terus kepada badan tersebut.
“Ini bagi mengelakkan sebarang kes penipuan yang mana mudah terjadi melalui projek-projek amal seperti ini.
“Saya pilih NKF memandangkan orang tua saya sebelum ini pun ada masalah buah pinggang, syukur alhamdulillah dia jaga pemakanan ikut saranan doktor dan telah berjaya pulih.
“Selain itu, ada juga kawan-kawan pernah menderita sakit buah pinggang, jadi itulah antara sebab-sebab saya mendalami penderitaan tersebut dan berhasrat buat kayuhan amal kepada NKF.
“Tahun lepas saya buat untuk pesakit-pesakit kanser, jadi tahun demi tahun saya cuba pelbagaikan sumbangan ini dan berjaya kutip lebih daripada RM4,000,” maklum anak jati Seberang Jaya itu lagi.
Menyentuh mengenai cabaran, Muhammad Tamizie mengakui kewangan antara yang menjadi kekangan.
Sebelum ini, beliau cuma memiliki sebuah basikal lipat namun kurang sesuai bagi perjalanan jauh.
“Jadi untuk misi ini saya beli sebuah ‘road bike’ pada harga berpatutan daripada seorang rakan.
“Tidak terhenti setakat itu, saya kena keluarkan dana untuk buat sedikit sebanyak ubah suai bagi menyesuaikan keadaan basikal dengan misi ini.
“Apa pun, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada penaja-penaja seperti Ropa Malaya, Hutan Ration, UtanKing, Tempatan Fest dan lain-lain yang sedikit sebanyak meringankan beban saya,” jelasnya yang turut berbakat sebagai pengacara majlis.
Menyentuh mengenai harapan, Muhammd Tamizie bercadang untuk melakukan kerja amal yang sama tetapi kali ini untuk membantu badan kebajikan bagi kanak-kanak autisme pada tahun hadapan.
Perancangan awal seperti perbincangan difahamkan sudah dimulakan di samping persediaan kayuhan amal NKF Oktober ini.
Buletin Mutiara merakamkan selamat maju jaya kepada Muhammad Tamizie dengan misi kayuhan amal tersebut dan selamat sampai ke destinasi.
Bagi yang berminat untuk menderma boleh mengimbas kod QR disediakan.