Notis mula kerja projek LRT Laluan Mutiara jangka dikeluarkan bulan ini

Admin
whatsapp image 2025 07 01 at 14.57.38

GEORGE TOWN – Pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara akan dimulakan secara rasmi selepas notis memulakan kerja dikeluarkan oleh Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa notis rasmi tersebut dijangka dikeluarkan pada bulan ini (Julai) berdasarkan perbincangan bersama-sama Menteri Pengangkutan pada Mei lalu.

“Sebenarnya, kerja-kerja awalan seperti penyiasatan tanah di tapak projek, pengambilan tanah, rundingan pampasan dan lain-lain sudah berjalan, walaupun notis memulakan kerja belum dikeluarkan secara rasmi.

“Di pihak Kerajaan Negeri, kita sudah selesaikan rundingan dengan SRS Consortium yang mana syarikat terbabit tidak lagi mempunyai obligasi ke atas projek LRT laluan Mutiara tetapi tetapi kekal sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP).

whatsapp image 2025 07 01 at 14.57.40 (2) whatsapp image 2025 07 01 at 14.57.40 (1) whatsapp image 2025 07 01 at 14.57.40 whatsapp image 2025 07 01 at 14.57.39

“Ini bermakna Kerajaan Negeri sudah menunaikan tanggungjawab kita pada peringkat ini, dan kini sedang menunggu notis memulakan kerja dikeluarkan secara rasmi sebelum SRS Consortium dapat melakukan kerja-kerja mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Pengangkutan Pulau Pinang 2025 dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Zulkifli Long.

Sebelum itu, Kon Yeow ketika berucap dalam majlis tersebut menyatakan bahawa sasaran untuk mencapai mod pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2031 akan dicapai selepas LRT Laluan Mutiara beroperasi.

“Walaupun setahun lewat daripada perancangan asal, namun projek LRT masih akan menjadi lembaran penting dalam meningkatkan kesalinghubungan sistem pengangkutan awam di negeri ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zairil menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasa ekosistem pengangkutan awam di negeri ini.

Menurut beliau, inisiatif tersebut termasuk memperkenalkan perkhidmatan bas percuma Central Area Transit (CAT) Georgetown dan CAT Bridge sebagai penyelesaian untuk mengurangkan kesesakan dan memudahkan pergerakan rakyat di negeri ini.

“Selain itu, skim pembiayaan Pas Mutiara yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri turut diperkenalkan demi mengurangkan beban kos pengangkutan rakyat selain menambahbaik perkhidmatan feri yang lebih kerap, selesa dan berdaya saing.

“Malah, projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Negeri (PTMP) kini giat dirancang sebagai tulang belakang sistem pengangkutan masa depan yang moden dan mampan,” ulasnya lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : LAW SUUN TING