Paras air tiga empangan utama Pulau Pinang memuaskan – CEO PBAPP

Admin
2b4fe137 702b 4ea3 b98a 672598437b0d

GEORGE TOWN – Paras air di tiga empangan utama kendalian firma operator air negeri, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) setakat 30 Mei 2025 adalah berada pada tahap memuaskan serta mampu menampung keperluan bekalan air terawat semasa rakyat dan industri.

d967d6a0 5b65 488b 978e 3d47d3d102e1
K. Pathmanathan

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ir. K. Pathmanathan dalam satu kenyataan kepada Buletin Mutiara petang ini memberitahu bahawa Empangan Air Itam kini mencatatkan kapasiti efektif sebanyak 62 peratus, dengan unjuran mampu membekalkan air untuk tempoh sekitar 61 hari.

Sementara di Empangan Teluk Bahang pula, beliau memberitahu bahawa paras simpanan sebanyak 51.75 peratus cukup untuk menampung permintaan air bagi tempoh 157 hari.

“Empangan Mengkuang, yang merupakan empangan terbesar di Pulau Pinang, berada dalam keadaan paling stabil dengan kapasiti efektif mencecah 91.37 peratus.

“Paras ini dijangka mampu menyokong keperluan bekalan air selama 132 hari,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan atas tinjauan susulan yang dibuat Buletin Mutiara di empangan-empangan negeri sejak awal pagi tadi.

Sehubungan itu, Pathmanathan memberitahu bahawa PBAPP sebagai firma operator air negeri akan terus memantau perkembangan cuaca dan pola taburan hujan dari semasa ke semasa.

“Pemantauan rapi ini dilakukan bagi memastikan sebarang perubahan tidak menjejaskan kestabilan bekalan air negeri.

“PBAPP juga menyatakan komitmennya untuk bekerjasama erat dengan agensi berkaitan bagi menjamin bekalan air yang berterusan dan mencukupi kepada rakyat Pulau Pinang.

“Orang ramai dinasihatkan agar terus mengamalkan penggunaan air secara berhemah walaupun paras empangan berada pada tahap selamat,” serunya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS