GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berhasrat menerbitkan sukuk sehingga RM5 bilion bagi memperkukuh keupayaan dana jangka panjang buat syarikat operator air negeri tersebut, di samping pelaburan pembangunan infrastruktur bekalan air negeri.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pelancaran penerbitan sukuk tersebut dilaksanakan bersama Maybank Investment Bank Berhad, dan United Overseas Bank (Malaysia) Berhad (UOB) turut dilantik sebagai penasihat utama bersama, pengatur utama bersama serta pengurus utama bersama.
“Maybank Investment Bank juga bertindak sebagai penasihat penstrukturan mampan tunggal untuk penubuhan kerangka kewangan mampan PBAPP.
“Kerajaan Negeri menyokong langkah PBAPP untuk mempelbagai sumber dana dengan meneroka pasaran modal (yang mana) pendekatan ini akan mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman dan geran kerajaan serta mewujudkan platform berskala untuk membiayai infrastruktur masa depan,” jelasnya Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi dalam majlis berkaitan di sini pada 8 Julai 2025.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa hasil penerbitan sukuk tersebut akan digunakan untuk membiayai contohnya, Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) dengan unjuran nilai pelaburan kira-kira RM2.099 bilion.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memberitahu bahawa sukuk yang diterbitkan itu juga akan dimanfaatkan sebagai perbelanjaan modal (CAPEX) dan perbelanjaan operasi (OPEX) serta keperluan pembiaaan semula bagi PBAPP.
“Hasil daripada sukuk ini juga akan digunakan untuk menyokong inisiatif hijau dan sosial lain yang selaras dengan Agenda Hijau Pulau Pinang dan (Visi) Penang2030,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow sekali lagi memberi bayangan mengenai hasrat menaikkan tarif air negeri pada pertengahan tahun 2026, jika memperoleh lampu hijau daripada Kabinet dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Ini kerana, menurut beliau, kira-kira RM144 juta keuntungan bersih terkini PBAPP digunakan untuk menyokong pelaburan infrastruktur air negeri yang mana jumlah itu tidak cukup untuk membiayai keseluruhan projek WCP 2030.
“Bagi penangguhan pelaksanaan tarif baharu sahaja mengakibatkan PBAPP menanggung kos kira-kira RM40 juta.
“Sebab itu, kita (Pihak Berkuasa Negeri) perlu melihat bagaimana untuk mengimbangi isu tarif PBAPP dan permintaan rakyat untuk kegunaan air terawat,” jelasnya sambil menganggap langkah penerbitan sukuk adalah opsyen untuk PBAPP mencapai kemampanan kewangan.

Berucap sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. K. Pathmanathan menyifatkan bahawa Program Islamic Medium Term Notes (IMTN) sulung berjumlah RM5 bilion serta Kerangka Kewangan Mampan yang diluncurkan pada hari ini adalah satu detik bersejarah bagi syarikat operator air tunggal tersebut.
“Program IMTN ini menggunakan struktur patuh Syariah Sukuk Wakalah, yang membolehkan PBAPP memperoleh pembiayaan jangka sederhana hingga panjang melalui pasaran modal Malaysia secara mampan dan berskala,” ulasnya.
Turut berucap, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Global Banking Maybank, Dato’ John Chong dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Group, Micheal Oh-Lau Chong Jin dan Wholesale Banking Area Head of North Area Centre, UOB, Teoh Soon Beng turut menyaksikan majlis kerjasama korporat dengan PBAPP tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING