PENANTI – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang melabur RM250 juta bagi membina sebuah loji rawatan air (LRA) baharu berhampiran Empangan Mengkuang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa LRA Taman Mengkuang itu direka dengan kapasiti maksimum 114 juta liter sehari (JLH) yang mana akan mengambil masa pemajuan selama 18 bulan dan dijangka siap November tahun depan.
“LRA (Taman Mengkuang) ini terletak kira-kira 550 meter dari Empangan Mengkuang,” katanya semasa merasmikan projek tersebut di sini pada 24 Mei 2025.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa Empangan Mengkuang sebelum ini berstatus sebagai
Empangan Mengkuang yang Diperbesarkan (EMD) yang mempunyai kapasiti efektif sebanyak 86,400 ML serta diklasifikasi sebagai ‘rizab kemarau strategik’.

Dengan siapnya projek LRA Taman Mengkuang nanti, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menyatakan bahawa status Empangan Mengkuang akan berubah dari status EMD kepada ‘empangan dwi guna’ serta mengurangkan kebergantungan pada fungsi LRA Sungai Dua sebagai loji pembekal utama air terawat negeri.

Berucap sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. K. Pathmanathan memberitahu bahawa sejak Januari 2021, kapasiti berkenaan EMD tidak pernah berada di bawah 85 peratus, sekali gus mencerminkan daya maju sumber air mentah tambahan negeri.
Beliau berkata bahawa 86,400 ML kapasiti efektif EMD adalah menyamai kira-kira 4.7 kali ganda kapasiti efektif maksimum Empangan Teluk Bahang (18,240 ML) dan 40 kali ganda kapasiti efektif maksimum Empangan Air Air Itam (2,159 ML).
“Matlamat utama LRA Taman Mengkuang adalah menghasilkan sehingga 114 JLH air terawat tambahan di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), terutama untuk diedarkan di SPT,” ujarnya.
Exco Infrastruktur, Pembangunan dan Digital merangkap Ahli Lembaga Pengarah PBAPP, Zairil Khir Johari; Pengarah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wilayah Utara, Ts. Khithob Ahmad dan Setiausaha Bahagian, Lembaga Sumber Air Pulau Pinang, Najwa Juaini Azmi antara pemimpin yang turut serta pada majlis pecah tanah Projek LRA Taman Mengkuang di sini sebentar tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI