GEORGE TOWN -Jurluatih Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail memberitahu pemain-pemainnya akan bersedia untuk mengharungi 90 minit kedua bagi perlawanan akhir MFL Challenge Cup 2025/2026 selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang Sabah FC (pusingan pertama) di Stadium Bandaraya malam tadi.
Beliau mengakui agak kecewa dengan keputusan tersebut yang mana Penang FC terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-70 melalui penyerang sensasi, Dylan Van Halls sebelum Sabah FC menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan.
“Saya boleh katakan, organisasi bertahan dapat mengendalikan setiap situasi dengan baik, cuma minit-minit akhir berlaku kesilapan, dan dihukum dengan satu gol.
“Tetapi itulah bola sepak, saya harap pemain-pemain belajar dan bangkit semula.
“Tidak perlu tunduk kecewa kerana kita masih ada 90 minit yang kedua, dan apa-apa pun boleh berlaku dalam bola sepak,” ujarnya kepada pemberita dalam satu sidang sejurus tamat perlawanan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan dif-dif jemputan lain.
Wan Rohaimi dalam pada itu turut mengakui pasukannya gagal mencatat kemenangan ekoran ketumpulan penyudah barisan serangan.

“Saya boleh katakan separuh masa kedua kita kawal permainan, cumanya ‘faktor membunuh’ kita tidak cukup tajam di situ.
“Pada satu peluang, sepatutnya meletakkan bola tu, melepasi garisan gol, tetapi kita tidak mahu salahkan siapa-siapa.
“Kita terima, saya terima keputusan ini dengan apa dengan hati yang terbuka dan macam saya cakap tadi kita ada lagi 90 minit yang kedua dan kita bersedia untuk apa-apa sekalipun yang berlaku di sana (Kota Kinabalu) nanti,” katanya lagi.
Perlwanan akhir pusingan kedua akan berlangsung pada 19 April.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : PENANG FC