Pembinaan projek LRA Sungai Kerian jangka siap 2027

Admin
zairil

GEORGE TOWN – Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari memaklumkan bahawa pembinaan projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Kerian berkapsiti 114 juta liter sehari (MLD) dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027.

Beliau berkata, projek yang bermatlamat untuk mengatasi masalah air di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) tersebut akan dibina melalui dua fasa yang melibatkan kerja-kerja saluran paip air terawat dan pembinaan loji rawatan air.

“Fasa 1 adalah melibatkan kerja-kerja saluran paip air terawat yang mana pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang dalam proses tender untuk melaksanakan projek ini.

“Fasa 2 pula merangkumi pembinaan loji rawatan air, yang kini sedang melalui proses pengambilan balik tanah oleh PBAPP,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail dalam Sesi Soalan Lisan, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini sebentar tadi.

Mengulas mengenai gangguan bekalan air berjadual (SWSI) pada 25 sehingga 27 April lalu, Zairil yang juga ADUN Tanjong Bunga berkata sebanyak 23 projek infrastruktur dan pembaikan telah berjaya disiapkan mengikut masa seperti yang dirancang.

“Pemulihan perkhidmatan bekalan air untuk 341,708 pengguna air yang terjejas oleh SWSI juga berjalan seperti yang dirancang.

“Malah, pengepaman tambahan 50 juta liter air terawat sehari dari LRA Sungai Dua telah dimulakan pada Mei 2025 untuk meningkatkan tekanan air dan mengurangkan gangguan di kawasan tanah tinggi serta hujung sistem agihan,” ujarnya.

Menjelaskan mengenai beberapa kawasan di Sungai Bakap yanb mengalami gangguan bekalan air dua hari lebih awal, Zairil berkata perkara itu disebabkan ramai pengguna cenderung menyimpan air pada saat-saat akhir.

“Tindakan ini menyebabkan tekanan air menurun secara mendadak, seterusnya mengakibatkan gangguan bekalan air lebih awal daripada jadual di sesetengah kawasan yang terletak di hujung sistem agihan atau kawasan tanah tinggi termasuk Sungai Bakap,” jelasnya.

Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS