GEORGE TOWN – Penang FC Sdn. Bhd. menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) bagi pengurusan dan pembangunan pasukan Piala Belia (bawah 18 tahun) dan Piala Presiden (bawah 20 tahun) untuk musim 2026.
Majlis tandatangan tersebut disaksikan oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen di Komtar di sini sebentar tadi.
Pihak Penang FC telah diwakili oleh Pengurus Besar, Jeffrey Chew Gim Eam manakala di pihak FAP diwakili oleh Presiden badan tersebut, Mohd. Azizudin Mohd. Shariff.
Menurut Zi Sen, kerjasama ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh ekosistem pembangunan bola sepak Pulau Pinang, dengan kedua-dua kejohanan dijadualkan bermula April 2026 hingga November 2026.
“Di bawah inisiatif ini, Penang FC akan menyediakan peruntukan bajet keseluruhan, manakala FAP akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan dan operasi kedua-dua pasukan.

“Semua pembayaran gaji pemain dan barisan kejurulatihan akan dilaksanakan selaras dengan bajet yang telah diluluskan bagi memastikan pembangunan lebih tersusun dan mampan.
“Melalui kerjasama ini juga, FAP akan memainkan peranan penting dalam mengenal pasti, membangun serta mengetengahklan bakat-bakat tempatan yang berpotensi untuk diserap ke dalam pasukan utama Penang FC pada masa hadapan,” ujar Zi Sen merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Penang FC.
Pada sidang media sama Zi Sen turut menyeru ‘pemain ke-12’ Penang FC untuk memenuhkan Stadium Bandaraya pada Perlawanan Akhir Pusingan Pertama MFL Challenge Cup 2025/2026 menentang Sabah FC pada 4 April ini.
“Sebagai tanda penghargaan kepada penyokong “Harimau Kumbang’, Penang FC menawarkan kemasukan percuma kepada semua warga emas yang berumur 60 tahun ke atas yang mana ini adalah sebahagian daripada usaha menyokong active aging.
“Selain itu tiket percuma juga akan diberikan kepada individu yang lahir pada bulan April, penyokong yang layak hanya perlu menunjukkan kad pengenalan di pintu masuk stadium untuk pengesahan.
“Jadi, marilah kita bersama-sama memenuhi stadium dan memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Penang FC dalam usaha memburu kejayaan, khasnya selepas 24 tahun lalu kita berjaya memasuki perlawanan akhir bagi pertandingan bukan liga,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING