PENANG Orchid Show 2025 kembali menyerikan kalendar pelancongan negeri dengan menampilkan lebih 800 spesies orkid dari dalam dan luar negara.
Pameran yang akan berlangsung dari 20 hingga 28 September itu bakal diadakan di Straits Court, Straits Quay, Tanjung Tokong.
Acara tahunan ini dianjurkan oleh Federation of Malaya Orchid Society (FOMOS) dengan kerjasama Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang (PETACE).

Presiden FOMOS, Tony Tan berkata, pameran kali ini akan menampilkan kelainan kepada para pengunjung.
“Pameran tahun ini lebih besar dan menarik berbanding sebelum ini, dengan penyertaan lebih meluas serta gubahan orkid yang unik untuk tatapan orang ramai.
“Keputusan untuk mengadakan pameran di Straits Quay dibuat kerana Taman Botani Pulau Pinang tidak dapat digunakan berikutan penutupan jalan bagi projek kereta kabel.
“Straits Quay bukanlah lokasi baharu buat FOMOS kerana pameran orkid pernah beberapa kali dianjurkan di sini sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, acara tersebut dijangka menarik lebih 15,000 pengunjung, sekali gus mengukuhkan imej Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan bagi peminat bunga dan penggiat hortikultur serantau.
Difahamkan, pameran kali ini turut menghimpunkan penyertaan dari enam negara iaitu Singapura, Jepun, Taiwan, Vietnam, Thailand dan Filipina, selain penyertaan tempatan.
Sebanyak 75 kategori pertandingan orkid akan dipertandingkan, termasuk acara yang dinanti-nantikan iaitu Pertandingan Gubahan Orkid pada 20 September ini yang bakal diadili oleh barisan juri antarabangsa.
Pengunjung juga berpeluang membeli pelbagai spesies orkid terpilih sepanjang sembilan hari pameran, yang dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT