Perkasakan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tangani kesan tarif Amerika Syarikat

Admin
whatsapp image 2025 05 05 at 14.53.24

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan perlu memperkasakan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk menangani kesan tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat ke atas eksport Malaysia.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dalam menangani cabaran ekonomi semasa, Malaysia seharusnya memanfaatkan peranan penting itu bagi mengembalikan keseimbangan kuasa antara ASEAN dan Amerika Syarikat.

Menurut beliau, salah satu langkah penting yang perlu diambil oleh Malaysia adalah dengan mempercepatkan Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat.

“Forum peringkat tinggi ini adalah amat penting untuk membingkai semula rundingan perdagangan secara lebih adil dan untuk menzahirkan suara ekonomi kolektif ASEAN.

“ASEAN perlu lebih lantang bersuara bukan sebagai 10 pasaran yang berpecah tetapi sebagai satu blok yang bersatu padu.

“Malaysia yang memegang peranan sebagai Pengerusi pada tahun ini harus memimpin dengan tegas dan jelas,” katanya ketika membahaskan usul sempena Mesyuarat Khas Penggal Keempat Majlis Parlimen Kelima Belas Dewan Rakyat hari ini sebentar tadi.

whatsapp image 2025 05 05 at 14.54.10 whatsapp image 2025 05 05 at 15.34.12 (1) whatsapp image 2025 05 05 at 15.34.12

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata bahawa Kerajaan Persekutuan juga perlu mempercepatkan pelantikan seorang Duta Besar yang diperuntukan khusus ke Amerika Syarikat.

Menurut beliau, penyelesaian strategik dan jangka masa panjang itu amat penting untuk mengukuhkan hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat sebagai salah satu rakan perdagangan utama.

“Peranan ini amat penting bukan sahaja untuk mewakili kepentingan Malaysia tetapi juga bagi mengangkat keutamaan dan aspirasi negara di peringkat tertinggi.

“Seorang duta yang berdedikasi akan memastikan suara Malaysia sentiasa didengari dan kepentingan kita sentiasa dilindungi dalam hubungan dua hala yang amat penting ini,” jelasnya.

Pada masa sama, Kon Yeow turut memuji usaha Kerajaan Persekutuan kerana menubuhkan Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC), pasukan petugas tarif MITI serta menjalinkan rundingan dua hala dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat.

“Langkah-langkah ini menunjukkan kesungguhan Malaysia dalam menangani ketegangan perdagangan tanpa mengambil jalan balas dendam.

“Pulau Pinang menyambut baik hasil daripada misi rundingan ke Washington D.C., yang diketuai oleh YB Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam perbincangan bersama wakil perdagangan kanan Amerika Syarikat dan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, Howard Lutnick.

“Kami yakin bahawa rundingan ini akan membawa kepada penyelesaian yang saling menguntungkan, berteraskan kepercayaan, keadilan dan perkongsian strategik jangka panjang,” katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata bahawa Pulau Pinang merupakan antara negeri yang paling berpotensi terkesan dengan pelaksanaan tarif timbal balik Amerika Syarikat.

“Ini kerana Amerika Syarikat merupakan negara kedua tertinggi dalam senarai eksport dari Pulau Pinang dengan nilai RM76 bilion bersamaan 17 peratus daripada keseluruhan nilai eksport negeri pada 2023.

“Malah, negara tersebut juga merupakan rakan dagangan utama kepada Pulau Pinang dengan lebihan dagangan bernilai RM 57.7 bilion pada tahun 2024.

“Justeru, pelaksanaan tarif ini dikhuatiri bakal memberi impak serius kepada Pulau Pinang dan negeri-negeri lain dalam Malaysia,” katanya.

Susulan itu, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengadakan perbincangan meja bulat bersama-sama pihak industri daripada sektor semikonduktor, kejuruteraan serta sektor sokongan, termasuk wakil akademik dan pegawai kanan kerajaan.

Beliau berkata, maklum balas utama yang diterima adalah jelas bahawa kerajaan perlu mengambil tiga inisiatif penting iaitu mengurangkan kos pengoperasian perniagaan, menangguhkan pelaksanaan cukai baharu dan meningkatkan efisiensi kerajaan dalam menghadapi situasi semasa.

“Hasilnya, Pulau Pinang memutuskan untuk menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Pemantauan Tarif Pulau Pinang dan menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Kit Alat Penyesuaian Perdagangan atau Trade Adaptation Toolkit.

“Kit ini bertujuan membantu pengeksport serta barisan pengusaha tempatan daripada komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memahami landskap serta hal-hal yang berkaitan antaranya panduan navigasi tarif, alat pengoptimuman perjanjian perdagangan bebas, penjodohan pasaran eksport dan sokongan transformasi digital.

“Oleh itu, saya menyeru kepada pimpinan Kerajaan Persekutuan supaya dapat bekerjasama dengan semua Kerajaan Negeri dalam Malaysia agar dapat memberikan bantuan jangka masa pendek kepada pengusaha PKS,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD