GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini menzahirkan rasa optimis terhadap masa depan Kompleks Jalan Kedah yang kini menyaksikan fasa transformasi lebih bermakna hasil sinergi antara penyaluran dana kerajaan dan penglibatan aktif komuniti setempat.

Ketua Menter, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, suntikan peruntukan yang disalurkan melalui wakil rakyat dan agensi kerajaan sebelum ini telah mula membuahkan hasil yang positif bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk di kawasan berkenaan.
“Dengan peruntukan yang disalurkan oleh wakil rakyat dan pihak kerajaan, kita dapat menyaksikan perubahan yang bermakna sudah berlaku di sini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2026 anjuran Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah di sini pada 8 April 2026.
Di samping itu, beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut menekankan peri penting warga penduduk untuk terus memberi perhatian pada aspek pembangunan insan bagi memacu lagi kelestarian persekitaran harmoni Kompleks Jalan Kedah.
Mengulas lanjut, Kon Yeow turut memuji tahap kesedaran penduduk lokal berkolaborasi dengan persatuan penduduk bagi meningkatkan kualiti keselamatan, kebersihan, ketenteraman dan semangat muhibah di sini.
“Saya percaya dengan perubahan minda para penduduk di sini untuk menjaga keselamatan, kebersihan dan bekerjasama antara semua kaum dengan pemimpin persatuan penduduk, saya yakin Kompleks Jalan Kedah ini akan terus bertambah baik pada masa hadapan,” tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Berucap pada majlis sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong menyifatkan tradisi penganjuran hari terbuka sempena sambutan Aidilfitri adalah penting bagi menyemarak agenda perpaduan dalam kalangan penduduk yang berbilang kaum di kawasan ini.
Berucap sebelum itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah, Abdul Wahab Shaik Maidin menzahirkan penghargaan kepada Kon Yeow atas sumbangan dana RM50,000 sehingga projek penaiktarafan dewan ornag ramai berjaya disempurnakan.
Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Hui Ying atas pemberian sumbangan peruntukan berjumlah RM250,000 untuk projek penaiktarafan parkir di kompleks penduduk.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran dan isteri turut sertai majlis keramaian tersebut sebentar tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & Video : ALISSALA THIAN