Peruntukan RM11.1 juta naiktaraf pasar awam Seberang Perai

Admin

Oleh : MOHD. HAFIZ TAJUDIN

PERMATANG PAUH – Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) memperuntukkan RM11,119,100 bagi mempertingkatkan fasiliti dan keselesaan para pengguna pasar awam di seluruh Seberang Perai di sini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif berkata, daripada jumlah itu, RM5 juta diperuntukan bagi menaiktaraf tiga buah pasar awam iaitu Pasar Awam Sri Bandar, Butterworth, Pasar Awam Samagagah, Permatang Pauh dan Pasar Awam Taman Berjaya, Nibong Tebal.

“Pada masa sama, MPSP turut menerima RM1,119,100 daripada Kerajaan Negeri bagi menaiktaraf dua pasar awam iaitu Pasar Awam Kampung Baru dan Pasar Awam Berapit.

“Sebagai tambahan, sebuah pasar awam bakal dibina di Juru dengan peruntukan sebanyak RM1 juta dan dijangka siap pada bulan Disember ini,’’ katanya pada Majlis Perasmian Pasar Awam Samagagah di sini barubaru ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Turut hadir, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin dan ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon.

Maimunah memberitahu, RM5 juta juga telah diperuntukan bagi pembaikan kecil di 23 pasar awam MPSP di seluruh Seberang Perai.

Dalam pada itu, Guan Eng melahirkan rasa gembira di atas perkhidmatan cemerlang ditunjukkan tenaga kerja MPSP ketika menjalankan kerja-kerja menaiktaraf kemudahan awam di Seberang Perai.

“Kita telah melihat perubahan yang amat ketara. Saya harap galakan yang ditunjukkan rakyat kepada YDP MPSP dapat dilihat secara berterusan menerusi penaiktarafan kemudahan yang disediakan.

“Sejajar itu, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk menambah anggota-anggota kerja MPSP.

“Dengan ini, kita harap kepimpinan MPSP dapat memberikan kemudahan yang sama baik dan sama taraf kepada semua di Seberang Perai,’’ ujar beliau.