Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING
GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow tampil menjelaskan isu berhubung dakwaan kononnya kos bagi pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Negeri Pulau Pinang melonjak daripada RM27 bilion kepada RM46 bilion.
Beliau berkata, kos bagi PIP masih kekal sama dan tidak ada lonjakan kos seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
“Sehingga kini, kos yang dicadangkan adalah tidak berubah dan tidak ada sebarang kenaikan kos seperti yang dikatakan,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Jurutera bagi SpecialPurpose Vehicle (SPV) PIP, Dato’ Ir. Ang Aing Thye serta wakil SRS Consortium,
Azmi Mohamad.
Menurut Kon Yeow, pada tahun 2011, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melantik syarikat perunding kejuruteraan, Halcrow untuk melaksanakan kajian pelaksanaan PIP.
“Berdasarkan kajian tersebut, Halcrow telah mencadangkan anggaran kos sebanyak RM27 bilion.
“Manakala pada 2014, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan panggilan tender (Request for Proposal, RFP) untuk melantik rakan pelaksana projek dan SRS Consortium telah ‘memenangi’nya.
“SRS Consortium kemudiannya mengemukakan pelan alternatif melibatkan jaringan lebuh raya dan rangkaian kereta api dengan anggaran kos RM39 bilion.
“Terdahulu, Kerajaan Negeri juga telah melantik Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (Zenith) untuk melaksanakan
tiga projek jalan dan terowong dasar laut dengan anggaran kos RM6.4 bilion menjadikan kos bagi kedua-duanya sekitar RM46 bilion.
“Sememangnya benar kos pelaksanaan bagi PIP ini akan mencecah RM46 bilion, tetapi adalah tidak tepat jika anda katakan kos tersebut telah melonjak dari RM27 bilion kepada RM46 bilion, sedangkan ia merupakan dua proposal yang berbeza, iaitu satu daripada Halcrow dengan kos RM27 bilion, dan satu lagi daripada SRS Consortium (RM46 bilion),” jelasnya.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah memberikan ‘lampu hijau’ kepada SRS Consortium untuk meneruskan pelaksanaan sistem aliran transit ringan (LRT) dari Komtar ke Bayan Lepas dan Penang Island Links (PIL) dengan anggaran kos berjumlah RM17 bilion.
“Seperti yang dimaklum sebelum ini, tidak akan ada PIP sekiranya Kerajaan Pusat tidak memberikan sebarang kelulusan. Tetapi, sekiranya kelulusan diberikan, SRS Consortiu makan meneruskan kerja-kerja reka bentuk kejuruteraan terperinci dan mengadakan panggilan tender bagi pelbagai pakej pelaksanaan kerja.
“Cuma setakat ini, kos projek tersebut boleh dimuktamadkan melalui perjanjian antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan SRS Consortium,” ujar beliau.