SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited memperkasa wanita menerusi pelbagai inisiatif inklusif, selaras dengan sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang pada tahun ini.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, kempen Hari Wanita Sedunia pada tahun ini urut menampilkan Showcase @ IWD yang mempamerkan pencapaian wanita dalam pelbagai bidang seperti teknologi, seni, kesihatan dan kelestarian alam.
Menurut beliau, antara inisiatif yang paling bermakna adalah Projek #BizIbuTunggal yang telah dilaksanakan pada 6 Februari 2026 melibatkan kesemua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini.
“Projek ini digerakkan dengan sokongan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) yang berperanan mencari penaja dan pembeli, mengenal pasti ibu tunggal yang ingin menjana pendapatan serta mengagihkan produk kepada golongan rentan dan memerlukan.
“Kita mengangkat pendekatan ‘Give a woman a fish and you feed her for a day; teach a woman to fish and you feed her and family for a lifetime’ sebagai asas pelaksanaan inisiatif ini,” katanya ketika berucap pada Perasmian Hari Wanita Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 yang berlangsung dekat Menara Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini sebentar tadi.
Majlis yang berlangsung penuh meriah itu dirasmikan oleh Yang Mulia Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Turut hadir, isteri kepada Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Pengerusi Puspanita MBSP, Noraishah Hashim; Ketua Pegawai Elsekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Dato’ Ong Bee Leng; Ahli-ahli Majlis MBSP dan Ahli-ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah PWDC.





Siew Khim yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PWDC berkata, sasaran awal program tersebut ditetapkan sebanyak RM100,000, namun hasil sokongan padu pelbagai pihak, jumlah kutipan berjaya melepasi sasaran dengan nilai keseluruhan RM144,274.50.
“Seramai 347 penaja dan pembeli telah terlibat, sekali gus memberi manfaat kepada 127 ibu tunggal.
“Secara purata, setiap peserta memperoleh pendapatan sekitar RM1,136, malah terdapat seorang ibu tunggal yang berjaya meraih sehingga RM9,600 dalam tempoh lebih sebulan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang.
Siew Khim turut menegaskan bahawa kejayaan tersebut bukan diukur melalui jumlah sumbangan semata-mata, sebaliknya keikhlasan dan semangat kebersamaan yang dizahirkan oleh semua pihak menjadi kekuatan utama program berkaitan.
“#BizIbuTunggal bukan sekadar platform jualan, tetapi satu inisiatif pemerkasaan yang membuka peluang kepada ibu-ibu tunggal untuk berdikari dan terus berusaha mencapai kejayaan,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, seramai 16 orang wanita yang mencapai kejayaan membanggakan menerima pengiktirafan atas sumbangan mereka terhadap pembangunan sosial negeri Pulau Pinang.
Sementara itu, Bee Leng ketika ditemui menjelaskan bahawa pelaksanaan Projek #BizIbuTunggal melalui inisiatif Projek Kuih Raya bukan sahaja memberi bantuan secara sekali gus, malah berjaya mewujudkan sumber pendapatan mampan kepada golongan sasaran.
Menurut beliau, pendekatan projek tersebut menekankan pembangunan jangka panjang dengan memberi peluang kepada golongan wanita, khususnya ibu tunggal untuk menjana pendapatan serta membina keupayaan perniagaan.
Katanya, pelaksanaan projek melibatkan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) di setiap KADUN yang berperanan mengenal pasti penaja serta memilih ibu tunggal sebagai pengusaha produk.
“Penaja akan menyumbang dana, sama ada dalam jumlah besar atau kecil dan dana tersebut digunakan untuk membeli bahan daripada ibu tunggal yang menghasilkan produk seperti kuih raya, hamper dan kraf kreatif.
“Produk ini kemudiannya diagihkan kepada kumpulan rentan termasuk orang kurang upaya (OKU), warga emas dan anak yatim,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan elemen pementoran dalam program tersebut bagi meningkatkan kapasiti perniagaan peserta serta membuka peluang kepada pelaburan dan pendanaan untuk pengembangan pada masa hadapan.
“PWDC merancang untuk menjadikan inisiatif ini sebagai program berulang mengikut musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Deepavali dan Tahun Baharu Cina, selain memperluaskan penyertaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Baderul Amin memaklumkan bahawa MBSP terus menyokong usaha PWDC sebagai platform memperkasa wanita di negeri ini.
Beliau berkata, MBSP mengamalkan pendekatan perancangan inklusif dengan mendapatkan pandangan pelbagai lapisan masyarakat, khususnya wanita dan kanak-kanak sebelum melaksanakan projek infrastruktur.
“Melalui kaedah tinjauan dan sesi libat urus komuniti, keutamaan projek dapat ditentukan berdasarkan keperluan sebenar seperti laluan pejalan kaki dan pencahayaan yang lebih selamat.
“Sebagai contoh, pelaksanaan projek di Taman Pauh Jaya yang melibatkan aktiviti komuniti seperti pertandingan mewarna dan sesi mendapatkan maklum balas bagi menentukan kemudahan yang diperlukan penduduk setempat,” ujarnya.
Tambahnya, MBSP turut merancang pelaksanaan program jangka panjang berfokuskan gender selama tiga hingga empat tahun bagi memastikan penyediaan infrastruktur yang inklusif untuk wanita, warga emas dan kanak-kanak.
“Secara keseluruhannya, inisiatif ini membuktikan bahawa pendekatan kolaboratif antara agensi serta penglibatan komuniti mampu menghasilkan impak nyata, khususnya dalam meningkatkan taraf ekonomi ibu tunggal dan memastikan pembangunan infrastruktur yang lebih responsif serta selamat untuk semua,” katanya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI