GEORGE TOWN – Pulau Pinang dipilih secara rasmi sebagai tuan rumah bagi penganjuran Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada 16 September ini bertempat di PICCA Convention Centre@Butterworth Arena.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil semasa sidang sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Tahun 2025 dekat Komtar di sini sebentar tadi.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat mengalu-alukan pengumuman itu dan sedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan acara tersebut.

“Mewakili Kerajaan Negeri, saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memutuskan untuk mengadakan Sambutan Hari Malaysia bukan sahaja di Sabah dan Sarawak tetapi bergilir-gilir antara negeri di Semenanjung.
“Kita bersyukur kerana Pulau Pinang telah dipilih secara rasmi sebagai tuan rumah bagi sambutan pada tahun ini.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan anggota dalam jawatankuasa induk ini, maka kita akan memberikan kerjasama penuh bagi menjayakan acara yang amat penting bagi negara Malaysia,” katanya.
Kon Yeow memberitahu bahawa di samping jawatankuasa induk, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga menubuhkan satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada 16 jawatankuasa kecil yang akan bertanggungjawab menjalankan persiapan rapi bagi menjayakan acara tersebut.
“Memandangkan masih ada tempoh panjang sehingga 16 September ini, saya percaya jawatankuasa kerja dan jawatankuasa kecil akan meneruskan persiapan sehingga acara ini berlangsung dengan jayanya,” ujarnya.
Bercakap sebelum itu, Fahmi memberitahu bahawa Sambutan Hari Malaysia 2025 yang akan bermula pada jam 8.30 malam itu akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Premier Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.


“Kita menjangkakan lebih daripada 5,000 orang dan kita akan pastikan acara gilang-gemilang ini dapat disambut bersama dengan jayanya.
“Semestinya acara ini akan disiarkan secara langsung dalam semua saluran media rasmi dan secara dalam talian, jadi rakyat boleh mengikutinya sama ada melalui kacar televisyen atau media sosial,” ulasnya lanjut.
Fahmi menyatakan bahawa pelbagai aktiviti dan program telah dirangka termasuk acara pada peringkat komuniti terutamanya di Pulau Pinang supaya sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 lebih rancak dan bermakna.
“Kita harap semua program yang dijalankan akan dapat menyemarakkan lagi semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat terutamanya penduduk Pulau Pinang selaku tuan rumah,” katanya.
Terdahulu, Fahmi turut melakukan kunjungan hormat ke atas Kon Yeow kira-kira 30 minit sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Tahun 2025.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Zulkilfli Long; Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi, Mazlan Abd Mutalib; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Muhamad Ghopran Yeop Hamzah dan wakil-wakil daripada jabatan serta agensi peringkat Persekutuan dan Negeri.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR.