Pulau Pinang catat rekod latihan CPR & AED terbesar, 2,200 pelajar jadi ‘Future Heroes’

Admin
whatsapp image 2025 09 29 at 14.43.34 (3)

GEORGE TOWN – Pulau Pinang hari ini mencatat sejarah tersendiri apabila seramai 2,200 pelajar dari 25 sekolah menengah di Daerah Timur Laut mengambil bahagian dalam latihan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan penggunaan Automated External Defibrillator (AED), sekali gus melayakkan program itu menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi ‘Penyertaan Pelajar Terbesar Dalam Latihan CPR & AED’.

Program bersejarah itu diadakan di Kompleks Masyarakat Penyayang sempena sambutan Hari Jantung Sedunia melalui inisiatif ‘Future Heroes’, yang digerakkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri dan rakan-rakan strategik termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat industri kesihatan.

 

whatsapp image 2025 09 29 at 14.43.34 (2)
DANIEL Gooi Zi Sen (tiga dari kiri) dan Lim Siew Khim (tiga dari kanan) antara pimpinan negeri yang hadir pada majlis berkaitan di sini.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, kejayaan itu menandakan permulaan kepada usaha melatih pelajar sekolah menengah di seluruh Pulau Pinang dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi memastikan negeri ini bersedia menghadapi kecemasan jantung di mana-mana sahaja.

Latihan CPR dan penggunaan AED bukan sekadar teknik, ia adalah keberanian dan keyakinan untuk bertindak apabila nyawa seseorang dipertaruhkan.

“Program ini bukan acara sekali sahaja, sebaliknya akan diperluas ke semua daerah menjelang 2028 dan inilah makna sebenar slogan kita, Untuk Kesihatan Kita, kerana kesihatan serta keselamatan adalah tanggungjawab bersama,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut.

 

whatsapp image 2025 09 29 at 14.43.34 (1)
DANIEL Gooi Zi Sen (barisan belakang, tiga dari kanan) bersama-sama para jurulatih yang hadir menunjukkan mesin Automated External Defibrillator (AED) jenis portabel yang sering digunakan khusus di tempat-tempat awam di negeri ini.

 

Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dato’ Dr. Fadzilah Shaik Allaudin; Timbalan Pegawai Pendidikan Dearah Sektor Pembangunan Murid Pejabat Pendidikan Dearah (PPD) Timur Laut, Mohd. Mursalin Ramli dan Presiden CERT George Town merangkap Naib Presiden JAPAC ZOLL Medical Corporation, Datuk Christopher Barnabas.

Pengerusi CERT George Town, TC Lim; wakil rakan industri termasuk ZOLL MedicalH2H Medicare Group, Sunway Medical Group dan Gleneagles Medical Center serta wakil NGO seperti St. John Ambulans Malaysia antara yang turut serta dalam majlis berkaitan di sini pagi ini.

 

whatsapp image 2025 09 29 at 14.43.35
DANIEL Gooi Zi Sen (berdiri, kiri) berkesempatan meninjau latihan yang dijalankan serentak di Kompleks Masyarakat Penyayang pagi ini.

 

Mengulas lanjut, Zi Sen memaklumkan bahawa penyertaan besar-besaran itu bukan sahaja satu pencapaian luar biasa bagi negeri, malah menjadi titik tolak untuk melahirkan generasi muda yang bersedia menyelamatkan nyawa.

“Pengiktirafan Malaysia Book of Records itu menjadi langkah penting dalam melahirkan generasi penyelamat nyawa, selaras dengan visi Penang2030 dan Malaysia Madani.

Malah, Kerajaan Negeri juga amat komited membina sebuah negeri yang lebih sihat dan selamat.

“Bersama-sama kita membentuk wira masa depan yang berani, berilmu dan bersedia menyelamatkan nyawa,” jelasnya.

 

whatsapp image 2025 09 29 at 14.43.34
MEWAKILI Ketua Menteri, Daniel Gooi Zi Sen (tiga dari kiri) menerima sijil pengiktirafan pada majlis berkaitan.

 

Pada kesempatan sama, Zi Sen turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih, sukarelawan dan guru yang telah memberi komitmen tinggi menjayakan program berkaitan.

“Sokongan berterusan anda adalah kunci kepada kelestarian program ini untuk jangka panjang,” katanya.

whatsapp image 2025 09 29 at 14.43.33

 

Program Future Heroes menyasarkan semua sekolah menengah di Pulau Pinang akan mempunyai pelajar terlatih CPR-AED dalam masa tiga tahun, menjadikan negeri ini yang pertama di Malaysia mencapai liputan menyeluruh bagi kesiapsiagaan kecemasan jantung seterusnya membawa inspirasi kepada semua.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : EXCO