Pulau Pinang, Sarawak hasrat perkukuh kerjasama strategik

whatsapp image 2025 08 28 at 12.07.24

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan delegasi Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Komtar, pagi ini.

 

Hadir sama, Timbalan Menteri Pedagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh; Penasihat Perusahaan Kecil dan Sederhana, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak, Datuk Seri Mohd. Naroden Majais; Setiausaha Tetap MINTRED Sarawak, Dzulkarnain Masron; Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak, Timothy Ong Wye Ern dan Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lai Hon Meng.

 

whatsapp image 2025 08 28 at 12.07.23
KETUA Menteri menerima kunjungan delegasi Kerajaan Negeri Sarawak yang diketuai oleh Awang Tengah Ali Hasan (empat dari kiri) di Komtar hari ini.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai perkara meliputi projek-projek pembangunan termasuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA); pembangunan Silicon Island; status semasa kemajuan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara; pembangunan taman-taman industri dan rancangan pembesaran pelabuhan Pulau Pinang.

 

Turut dibangkitkan adalah mengenai cabaran-cabaran dalam merangka pelan pembangunan kedua-dua negeri termasuk pembangunan utiliti; pembangunan industri solar dan tenaga hijau; pelancongan; pelaburan serta perkembangan semasa pembangunan projek Transit Aliran Autonomi (ART) di Kota Samarahan, Sarawak.

 

Dalam pertemuan sama, Awang Tengah juga menyatakan hasrat Kerajaan Negeri Sarawak untuk adakan kolaborasi strategik dalam industri semikonduktor dengan Pulau Pinang yang dianggap sebagai negeri pelopor industri semikonduktor negara.

 

Ini termasuk potensi untuk berkerjasama dengan InvestPenang dalam segmen pelaburan dan ekonomi digital di samping pembangunan inklusif demi kemajuan kedua-dua negeri.

 

whatsapp image 2025 08 28 at 12.07.22
KETUA Menteri mengiringi Awang Tengah Ali Hasan (duduk) menandatangani buku pelawat di sini pagi ini. Turut mengiringi Dr. Malcolm Mussen Lamoh (kanan).

Sementara itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyambut baik hasrat Kerajaan Negeri Sarawak itu serta menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan lanjut pada masa hadapan.

 

Usai pertemuan, kedua-dua pemimpin itu saling bertukar-tukar cenderamata sebelum dibawa melawat ke The TOP Komtar yang menjadi antara destinasi pelancongan di tengah-tengah bandar raya George Town.

 

whatsapp image 2025 08 28 at 12.07.16
DELEGASI Kerajaan Negeri Sarawak berkesempatan melawat ke The TOP Komtar di sini.

Difahamkan, ini merupakan lawatan kedua Awang Tengah ke negeri Pulau Pinang selepas lawatan pertama beliau tiga tahun lalu.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT