BAYAN LEPAS – Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung masih mengadakan perbincangan dengan pemilik tanah di Permatang Tepi Laut sejak 18 bulan lalu bagi mencari penyelesaian berhubung isu penduduk yang menyewa di atas tanah tersebut yang diarahkan untuk berpindah.
Menurut Timbalan Ketua Menteri I yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, tanah tersebut bukan milik Kerajaan Negeri, syarikat atau pemaju, sebaliknya merupakan milikan individu.
“Kena fahami isunya, tanah ini dimiliki oleh tuan tanah (individu), maksudnya mereka duduk di atas tanah orang, menumpang dan menyewa, malah ada dalam kalangan mereka ini menyewakan premis mereka kepada pihak ketiga.
“Maknanya, kita pusat khidmat DUN Batu Maung berurusan dengan tuan tanah dalam tempoh setahun setengah, cuma kita tidak uar-uarkan kerana urusan dengan tuan tanah masih belum selesai.
“Dalam tempoh tersebut juga kita sudah beberapa kali memohon supaya tuan tanah menangguhkan arahan pemindahan,” ujarnya dalam satu sidang media sejurus Program Sumbangan Hamper Sempena Hari Natal 2025 dan Penyampaian Manfaat Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dekat Teluk Kumbar, semalam.
Beliau mengulas perkara itu selepas tular kenyataan ADUN Sungai Dua merangkap Ketua Pembangkang, Muhammad Fauzi Yusoff yang mendakwa Kerajaan Negeri dan ADUN Batu Maung tidak membantu 18 penduduk di situ yang diarahkan berpindah.
Tambah Mohamad, setakat ini penduduk cuma diberikan surat tuntutan (LOD), namun katanya perkara itu bukan pada peringkah perintah mahkamah.
Pihaknya juga sedang berbincang supaya pemilik tanah dapat mempertimbangkan sedikit pampasan kepada penduduk-penduduk terlibat.
Selain itu, beliau turut menafikan bahawa tanah kira-kira tiga ekar tersebut mempunyai sebarang kaitan dengan projek Kerajaan Negeri mahupun Pulau Silikon yang sedang disiapkan.
“Gerak kerja saya, apabila sesuatu isu itu sudah selesai, baru saya akan umum kerana itulah cara saya.
“Jadi tidak perlu sehingga ada orang tampil untuk beritahu kepada saya serta menularkan perkara ini sampai kepada tahap yang kita tengok boleh membawa fitnah dari segi faktanya.
“Jagalah kawasan masing-masing dan tidak perlulah datang kawasan lain, kalau nak datang juga semak fakta terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kenyataan yang tidak berasas,” tegasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Dato’ Seri Farizan Darus memaklumkan bahawa proses penyerahan bot dan enjin kepada 294 nelayan di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dijangka selesai suku pertama tahun 2027.

“Setakat ini, seramai 127 nelayan Tahap 1 telah menerima bantuan bot dan enjin baharu termasuk enam penerima pada hari ini dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan mencecah RM10.58 juta.
“Bakinya akan terima secara berperingkat dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang suku pertama tahun 2027,” maklum beliau kepada pemberita.
Difahamkan, sehingga kini bayaran ex-gratia berjumlah RM11.8 juta turut disalurkan kepada 795 nelayan yang layak manakala 60 unit bangsal nelayan telah dirancang untuk pembinaan semula secara berfasa.
Katanya Kerajaan Negeri juga membelanjakan sebanyak RM615,000 bagi bantuan pendidikan kepada anak-anak nelayan terutama mereka yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI