Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB & NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : SHUM JIAN-WEI & MARK NOEL JAMES
BUKIT MERTAJAM – Abu mayat mendiang Sanjid Singh Sadhu, anak kapal MH17 yang terkorban dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), tiba di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang Bubok sekitar jam 2.10 petang, 2 September lepas di sini.
Manakala, abu mayat mendiang Loh Yuan Hwa dan mendiang Fan Suun Po pula tiba di lapangan terbang lama Bayan Lepas lebih awal, sekitar jam 10.15 pagi, pada hari sama.
Ketiga-tiga bekas abu mayat diarak keluar daripada dua helikopter berasingan dengan penuh adat ketenteraan dan disambut sebagai acara berkabung rasmi peringkat negeri.
Dari dekat, rata-rata yang hadir berpakaian serba hitam, saling berkongsi rasa sedih dengan tragedi bersejarah tersebut.
Kelihatan, waris mangsa yang kian sebak menyaksikan majlis memberi penghormatan terakhir di kedua-dua lokasi, cuba ditenangkan oleh beberapa Exco Kerajaan Negeri yang hadir memberi penghormatan terakhir.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Datuk Mohd. Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri I), Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) dan Datuk Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) turut hadir pada kedua-dua majlis berkabung itu.
Chow Kon Yeow, Jagdeep Singh Deo, Phee Boon Poh, Dr. Afif Baharudin, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Chong Eng antara Exco Kerajaan Negeri yang hadir.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Dr. Wee Kar Siong mewakili Kerajaan Pusat.
Abu mayat mendiang Yuan Hwa dan Suun Po disemadikan di tokong Kek Lok Si dekat Air Itam.
Abu mayat Sanjid pula pada 3 September lepas dibawa dari kediaman keluarganya di Bukit Mertajam ke jeti Jabatan Laut Wilayah Utara dekat Batu Uban sebelum disemadikan di perairan negeri, berhampiran Pulau Rimau.
Bapa mendiang Sanjid, Jijar Singh, 71, isteri mendiang, Tan Nee Gok, 43, dan anak tunggalnya, Hans Singh Sandhu, 10, serta sanak saudara lain turut mengiringi bekas abu mayat pramugara tersebut ke lokasi persemadian.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk A. Thaiveegan dalam kenyataannya dilaporkan berkata, bapa mendiang Sanjid mengucapkan terima kasih kepada polis dan semua yang terlibat dalam proses membawa pulang abu mayat anak beliau ke tanah air, sehingga selamat disemadikan.
Tambah Thaiveegan, Jijar menyifatkan penghormatan yang diberikan terhadap anaknya itu sebagai sesuatu yang luar biasa.
“Bapa mendiang mengatakan ini adalah satu penghormatan yang luar biasa.
“Pertama kali orang awam diberikan penghormatan sedemikian rupa,” jejas Thaiveegan.
Mendiang Yuan Hwa, Suun Po dan Sanjid adalah antara 298 penumpang serta anak kapal yang terkorban apabila pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine, pada 17 Julai lalu.
Sejumlah 43 rakyat Malaysia berada di dalam pesawat Boeing 777-200 itu.
Guan Eng pada Majlis Berkabung MH17 Peringkat Negeri dalam satu kenyataan menyifatkan insiden itu sebagai tragedi pembunuhan beramai-ramai, serta menuntut keadilan dunia untuk kesemua keluarga mangsa.