GEORGE TOWN – Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Daniel Gooi Zi Sen mengajak orang ramai menyertai acara larian Charity Run/Walk for Children Cancer 2.0 bagi membantu pesakit kanser dalam kalangan kanak-kanak.
Penganjuran program ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, tetapi juga membawa mesej kemanusiaan yang sangat penting.
“Sebahagian daripada hasil kutipan penyertaan akan disalurkan bagi membantu kebajikan kanak-kanak yang menghidap kanser melalui Pengerusi Persatuan Sahabat Kanser Wilayah Utara (FOCCAN), sebuah organisasi yang telah lama memainkan peranan penting dalam memberi sokongan kepada pesakit kanser kanak-kanak serta keluarga mereka.
“Saya difahamkan bahawa pihak penganjur menyasarkan penyertaan sekitar 2,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Justeru, saya ingin menyeru orang ramai, komuniti setempat, badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) serta pencinta aktiviti sukan untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam program ini,” ujarnya dalam satu sidang media di Komtar di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Pengasas dan Pengerusi Stay Fit Sunnah Sports Club Penang, Ahmed Faisal Mohd. Lazim; Penasihat Stay Fit Sunnah Sports Club Penang, Dato’ Dr. M. Amir Shah dan Pengerusi FOCCAN Wilayah Utara, Maznah Tayib.
Ahmed Faisal dalam pada itu menyeru orang ramai untuk lebih ramai memeriahkan acara sambil menderma memandangkan kekosongan masih banyak.
“Setiap penyertaan berpeluang memenangi cabutan bertuah berupa sebuah motosikal selain yuran penyertaan yang berpatutan,” katanya.
Kepada yang berminat boleh mendaftar melalui pautan laman web tertera https://howei.com/event_details/charityrunwalkforchildrencancer20