PERNAHKAH anda mendengar tentang Silat Siku 12?
Seni bela diri ini mungkin kurang dikenali berbanding Silat Gayung, taekwondo atau Muay Thai, namun, ia merupakan warisan unik yang berakar di Pulau Pinang.

Siku 12 dipercayai diasaskan oleh Sheikh Gulameah Sheikh Ahmad Meah, yang juga pengasas Seni Silat Pelaga dan Silat Petir Melayu Pulau Pinang sekitar era 1940-an.

Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa Siku 12 merupakan warisan negeri yang masih diamalkan dalam komuniti kecil dan terus ‘hidup’ hingga kini.

Dalam usaha memperkenalkan seni bela diri ini kepada masyarakat umum, Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) mengambil inisiatif mengangkat Siku 12 menerusi sebuah pameran khas yang berlangsung dari 3 April hingga 17 Mei di premisnya di Jalan Macalister.

Menurut Pengarah LMNPP, HARYANY MOHAMAD, pemilihan Siku 12 sebagai tema pameran adalah kerana seni tersebut lahir di Pulau Pinang dan wajar diketengahkan sebagai warisan ketara negeri.
“LMNPP menyediakan pelbagai pengisian menarik sepanjang pameran ini, termasuk demonstrasi seni permainan Siku 12, bengkel lipatan tanjak, forum bedah manuskrip ‘Mamu Dada’, bengkel penjagaan keris, bengkel origami, sesi podcast serta pelbagai pameran berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, konsep pameran kali ini menggunakan pendekatan komik bagi menarik minat generasi muda.
“Kami tidak mahu pendekatan yang terlalu konvensional. Siku 12 sendiri lebih bersifat kombat dan tidak mempunyai elemen spiritual seperti sesetengah seni silat lain.
“Sebagai contoh, tiada amalan seperti mandi minyak atau pembakaran kemenyan dalam Siku 12,” jelasnya.
Menurutnya lagi, Siku 12 dipercayai merupakan gabungan pelbagai elemen seperti seni silat, tinju, tarian cha-cha serta kemahiran memintal tali yang dipraktikkan oleh buruh pelabuhan, yang merupakan antara pekerjaan utama di George Town suatu ketika dahulu.
Ada juga tanggapan yang membandingkan Sheikh Gulameah, atau lebih dikenali sebagai Mamu Dada, dengan legenda seni bela diri Bruce Lee yang mengasaskan Jeet Kune Do. Namun, hakikatnya Siku 12 telah wujud lebih awal.

Perkembangan Siku 12 bagaimanapun agak perlahan selepas pemergian Mamu Dada pada tahun 1947 ketika berusia 42 tahun.
Walaupun begitu, beliau sempat mewariskan ilmu tersebut kepada lima orang anak murid yang terus mempertahankan legasi ini sehingga ke hari ini.
“Orang ramai yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai sejarah, persembahan, manuskrip serta gerak tari Siku 12 boleh berkunjung ke LMNPP di Jalan Macalister.

“Muzium ini dibuka setiap hari kecuali hari Jumaat dan cuti umum, bermula jam 9 pagi hingga 5 petang,” katanya.
Tambah beliau, antara tarikan utama ialah manuskrip asal peninggalan Mamu Dada yang ditulis dalam Bahasa Inggeris, memandangkan beliau mendapat pendidikan aliran Inggeris dan pernah berkhidmat sebagai juru ukur bahan di Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).
“Kemuncak acara adalah pada 11 April jam 8 malam sempena majlis perasmian, manakala forum pada 12 April akan dikendalikan oleh pempengaruh John Bear. Orang ramai perlu mendaftar awal kerana tempat adalah terhad,” katanya lagi.
Sebarang pertanyaan boleh dibuat melalui laman Facebook Penang State Museum Art Gallery atau menghubungi talian 04-226 1439 pada waktu pejabat.
Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI