DALAM tempoh enam tahun, Sukarelawan Belia Pulau Pinang bukan sekadar menghimpunkan tenaga muda, malah berjaya membentuk generasi pemimpin berwibawa apabila seramai 9,529 belia telah berdaftar setakat Mac 2026.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, DANIEL GOOI ZI SEN berkata, angka tersebut mencerminkan lonjakan penyertaan sosial yang signifikan, sekali gus membuktikan belia kini menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan pelbagai agenda negeri.
Menurutnya, keberkesanan program ini tidak hanya diukur melalui angka penyertaan, tetapi lebih penting melalui impak langsung kepada komuniti dan transformasi diri sukarelawan.
Belia hari ini bukan lagi sekadar peserta, tetapi rakan strategik utama dalam memacu perubahan sosial.
“Mereka bukan sahaja membantu kelancaran acara, malah membuktikan keupayaan mobilisasi yang pantas dan berkesan dalam situasi kritikal,” katanya kepada wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI ketika ditemui di pejabatnya pada 7 April lalu.

Mengulas lanjut, beliau berharap lebih ramai belia tampil menjadi Sukarelawan Belia Pulau Pinang sekali gus berjaya mencapai sasaran sukarelawan berdaftar seramai 10,000 orang tahun ini.
Dari sukarelawan ke pemimpin komuniti
Tambah beliau, antara indikator kejayaan paling ketara adalah perubahan karakter peserta yang beralih daripada individu pasif kepada pemimpin komuniti yang yakin dan berdaya saing.
Penilaian oleh Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) mendapati bahawa program ini berjaya membina jati diri, disiplin serta etika kerja profesional melalui sistem maklum balas dan latihan berterusan.
“Lebih menarik, sukarelawan turut diberi peluang menyertai program pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus melahirkan belia berminda global tetapi tetap berakar pada nilai tempatan,” katanya.

Terlibat dalam krisis hingga pentas antarabangsa
Menurut Zi Sen, sepanjang pelaksanaannya sejak Mac 2020, program ini mencatat pelbagai pencapaian ikonik yang mencerminkan impak sebenar kepada masyarakat.
“Antaranya termasuk penglibatan aktif dalam misi bantuan banjir di Pahang, pengagihan makanan ketika pandemik COVID-19 serta operasi bantuan air semasa gangguan bekalan di Pulau Pinang pada 2024.
“Dalam masa sama, sukarelawan ini turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan kelestarian alam sekitar melalui aktiviti seperti pembersihan pantai, yang berjaya mengubah sikap komuniti ke arah lebih prihatin terhadap alam sekitar.
“Pada peringkat lebih tinggi, mereka turut diberi kepercayaan menyertai forum berprestij seperti ASEAN Senior Economic Officials Meeting dan Malaysia Urban Forum yang merupakan satu pengiktirafan terhadap profesionalisme dan keupayaan belia Pulau Pinang.” ujarnya.

Rekod nasional hasil tenaga sukarelawan
Salah satu pencapaian paling membanggakan, kata Zi Sen, adalah projek mural ‘Blank Canvas’ di Taman Rimba WoodHaven, Bukit Mertajam yang diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai mural bertema hutan bandar terpanjang di negara ini.
“Mural sepanjang 218.5 meter dan setinggi 2.1 meter itu dihasilkan oleh 170 sukarelawan belia, membuktikan gabungan kreativiti dan semangat kesukarelawanan mampu mencipta impak besar,” ulasnya lanjut.
Kekal aktif, bukan sekadar ‘one-off’
Dalam memastikan kesinambungan penglibatan para belia dalam aktiviti kesukarelawanan ini, Zi Sen memaklumkan bahawa kira-kira 300 sukarelawan dikenal pasti kekal aktif secara konsisten sejak 2021.
“Ini merupakan satu angka yang mencerminkan kualiti komitmen tinggi dalam kalangan peserta.
Bagi mengekalkan momentum ini, Kerajaan Negeri melalui PYDC perkenalkan beberapa pendekatan strategik.
“Antaranya sistem jam kredit sebagai pengiktirafan sumbangan; pembinaan komuniti berteraskan rasa kepunyaan serta peluang latihan, kepimpinan dan pendedahan ke peringkat lebih tinggi.
“Pendekatan ini menjadikan kesukarelawanan bukan sekadar aktiviti ‘one-off’ atau sementara, tetapi sebahagian daripada gaya hidup belia,” jelasnya.

Had umur belia
Mengulas mengenai isu had umur belia yang kini ditetapkan kepada 30 tahun, Zi Sen berkata bahawa data menunjukkan 81.41 peratus sukarelawan sedia ada yang berdaftar dengan Sukarelawan Belia Pulau Pinang terdiri daripada golongan bawah 30 tahun, sekali gus membuktikan program ini relevan dengan generasi muda.
“Namun begitu, platform ini masih dibuka kepada belia berumur sehingga 35 tahun bagi tujuan bimbingan dan kestabilan organisasi.
“(Dan) bagi menarik lebih ramai penyertaan baharu, Kerajaan Negeri mempergiat strategi dengan mengadakan kempen digital melalui platform popular seperti TikTok dan Instagram.
“Selain itu, bekerjasama lebih erat dengan pihak sekolah, kolej dan universiti sebagai salah satu strategi pelaburan masa depan negeri,” katanya.
Mengakhiri wawancara, Zi Sen menegaskan bahawa program Sukarelawan Belia Pulau Pinang adalah pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan negeri.
Kesinambungan antara penglibatan aktif dan pembinaan karakter memastikan setiap sukarelawan bukan sahaja memberi impak hari ini, tetapi juga bersedia menjadi pemimpin masa depan.
“Dengan rekod pencapaian dan penyertaan yang terus meningkat, program ini jelas membuktikan bahawa belia Pulau Pinang bukan sekadar harapan masa depan tetapi penggerak utama perubahan hari ini,” katanya lagi.
Hayati impak kesukarelawanan
Pemilihan tagline ‘We Make A Difference’ mencerminkan keyakinan bahawa setiap tindakan kecil sukarelawan mampu mencetuskan impak besar kepada komuniti secara berantai, ujar Timbalan Pengurus Besar PYDC, ONG CHING SHI ketika dhubungi baru-baru ini.

Jelasnya, pendekatan tersebut menekankan bahawa tiada tugas yang terlalu kecil dalam dunia kesukarelawanan.
Setiap peranan, walaupun bersifat teknikal atau asas ia merupakan komponen penting kepada kejayaan sesuatu misi.
“Selain itu, keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab dilihat sebagai kunci kepada pembentukan impak kolektif yang signifikan.
“Tagline ini merupakan seruan, di samping membantu membina jati diri serta kepimpinan dalam kalangan belia,” tegasnya.

Bercakap mengenai harapan, beliau mahu Sukarelawan Belia Pulau Pinang terus menjadi platform dalam melahirkan sukarelawan yang proaktif, berintegriti dan sentiasa relevan dengan keperluan semasa masyarakat.
Setiap pengalaman yang diperoleh melalui platform ini diyakini mampu mematangkan golongan belia dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
“Ia sekali gus menjadikan mereka ejen perubahan yang konsisten ke arah kesejahteraan Pulau Pinang,” katanya.
