GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyuarakan rasa bimbang dengan langkah pemerintah Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas barang import dari Malaysia.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa kenaan cukai setinggi 25 peratus itu boleh memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi negeri Pulau Pinang yang mana ketika ini berorientasikan eksport.
Meskipun industri semikonduktor buat masa ini dikecualikan daripada pengenaan tarif, beliau menyatakan bahawa masih wujud kebimbangan seperti peluasan skop tarif AS boleh memberikan kesan limpahan terhadap pemain industri tempatan, dan mengganggu rantaian bekalan global yang sedia mantap di Pulau Pinang.
“Ekonomi Pulau Pinang sangat terikat dengan eksport dan sebahagian besar daripadanya tertumpu kepada pasaran Amerika Syarikat (AS).
“Kenaan tarif ini bukan sahaja boleh menjejaskan aliran dagangan, tetapi turut berisiko menjejaskan keputusan pelaburan masa depan, terutamanya dalam kalangan syarikat global yang membandingkan kadar tarif di seluruh rantau ASEAN,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi dalam sidang media di sini pada 8 Julai 2025.
Difahamkan, antara bulan Januari hingga Mei tahun ini menyaksikan Pulau Pinang menyumbang 54 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke AS, dengan nilai mencecah RM52 bilion.
Kon Yeow memberitahu bahawa majoriti eksport adalah melibatkan syarikat multinasional dari AS yang beroperasi di Pulau Pinang, terutamanya dalam sektor jentera dan peralatan elektrik yang mana menyumbang 77 peratus daripada keseluruhan eksport negeri ke pasaran tersebut.
Sehubungan itu, Kon Yeow menggesa Kerajaan Persekutuan supaya memperhebat usaha diplomatik untuk merundingkan kadar tarif yang lebih munasabah dengan pihak AS, di samping menangani halangan bukan tarif dan dasar perdagangan lain yang boleh melemahkan daya saing Malaysia di pentas antarabangsa.
“Dalam menghadapi cabaran ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh infrastruktur, mempercepat proses perniagaan dan mengurangkan kos operasi syarikat sebagai langkah penting untuk memastikan Pulau Pinang kekal sebagai hab utama dalam rantaian nilai global.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dan pihak industri demi memastikan daya tahan ekonomi negeri dan negara dalam jangka panjang,” tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING