Taska, tadika dan pusat jagaan diseru sertai libat urus Oktober ini

Admin
835d1ad0 3385 491a afd4 8bf4782eb15d

GEORGE TOWN – Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim menyeru pemilik taska, tadika dan pusat jagaan seluruh negeri untuk tampil pada sesi libat urus khas berkaitan pusat terbabit yang akan diadakan Oktober ini.

 

Tegasnya sesi tersebut amat penting agar Kerajaan Negeri dapat meneliti isu-isu berbangkit terutamanya melibatkan pendaftaran, tukar guna, keselamatan dan perkara-perkara berkaitan.

 

“Sesi libat urus ini akan berlangsung pada 2 Oktober di Auditorium A bagi pengusaha yang berada di kawasan pulau dan 7 Oktober di Auditorium Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk pengusaha di kawasan Seberang Perai bermula dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.

 

“Libat urus ini akan menjadi platform untuk kita mendengar secara langsung pandangan, cadangan dan cabaran daripada para pengusaha, seterusnya merangka langkah susulan yang lebih jelas bersama agensi teknikal, sekali gus menyediakan jalan keluar yang lebih teratur bagi mereka yang selama ini berdepan dengan pelbagai kekangan.

 

“Bagi memastikan keberkesanan usaha ini, Kerajaan Negeri telah menubuhkan sebuah Pasukan Khas atau Task Force yang akan menjadi tulang belakang dalam aspek penguatkuasaan dan pelaksanaan, merangka garis panduan baharu yang lebih terperinci dan mudah difahami kerana pada masa ini ramai pengusaha dan malah sebahagian agensi teknikal masih keliru tentang proses sebenar,” ujarnya dalam satu sidang media di Komtar di sini pagi tadi.

 

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Pembanguna Wanita Pulau Pinang (PWDC), Dato’ Ong Bee Leng; wakil-wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta badan-badan berkaitan.

 

Melalui Pasukan Khas ini juga, Siew Khim telah memaklumkan kepada semua agensi untuk berhenti dahulu sebarang penguatkuasaan terhadap taska/tadika dan pusat jagaan yang tidak berdaftar ini.

 

“Selain itu, isu besar yang turut diberi perhatian ialah status tukar guna premis, saya sedar bahawa menukar status daripada kediaman kepada komersial bukanlah sesuatu yang mudah.

 

“Justeru, melalui Pasukan Khas ini, kita akan cari jalan untuk menyediakan proses yang lebih lancar dengan tempoh masa yang munasabah, contohnya satu hingga dua tahun, bagi semua pengusaha untuk mematuhi syarat,” Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang itu lagi.

 

Difahamkan, di Pulau Pinang sahaja, sebanyak 55 taska, 97 tadika dan 85 pusat jagaan yang masih tidak berdaftar, angka ini adalah berdasarkan rekod di bawah JKM dan JPN.

 

Pendaftaran boleh dibuat melalui kod QR yang disediakan.img 3886 img 3885

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUAHAMAD AMIR IRSYAD OMAR