Tebang pokok lebih 0.8 meter tanpa kebenaran boleh didakwa – Datuk Bandar MBSP

Admin
whatsapp image 2025 05 28 at 13.01.34 (2)

SEBERANG JAYA – Sebarang aktiviti penebangan pokok yang mempunyai lilitan melebihi 0.8 meter (m) tanpa kebenaran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan mahkamah.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 35H(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

“Pada 15 Mei 2025, kami telah mengambil tindakan pendakwaan terhadap enam Orang Kena Saman (OKS) di Mahkamah Majistret MBSP, Bukit Mertajam atas kesalahan di bawah seksyen berkaitan.

“Kesalahan yang dilakukan adalah melibatkan penebangan dua batang pokok jenis Samanea Saman di Lot 2461, Lorong Tembikai 8, Mukim 10, Seberang Perai Tengah yang mempunyai lilitan melebihi 0.8m tanpa kebenaran bertulis daripada MBSP.

“Kesemua OKS telah mengaku bersalah dan Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda keseluruhan sebanyak RM13,000 terhadap mereka,” katanya semasa mempengersusikan Mesyuarat Majlis Penuh Kalu ke-611 Bil. 5/2025 dekat Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.

Baderul Amin menegaskan bahawa sebarang aktiviti penebangan pokok yang mempunyai lilitan melebihi 0.8m hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak MBSP.

“Kegagalan berbuat demikian boleh mendatangkan pelbagai risiko kepada penduduk sekitar, termasuk gangguan terhadap kestabilan tanah, sistem saliran, keselamatan awam dan kualiti persekitaran setempat.

“MBSP tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh menjejaskan peraturan perancangan, keseimbangan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat.

“Tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan pematuhan dan kelestarian pembangunan di kawasan Seberang Perai,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS