Terus perkasa SJKT, fokus literasi digital dan STEM

Admin
whatsapp image 2026 04 08 at 18.02.26

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited memperkukuh pendidikan inklusif dengan menyalurkan peruntukan berjumlah RM2.42 juta kepada 28 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri ini, sekali gus memperkasa kemudahan sekolah serta agenda pendigitalan dan kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa inisiatif tersebut adalah selaras dengan Visi Penang2030 yang menekankan pembangunan bakat dan pemerkasaan rakyat melalui pendidikan berkualiti.

“Kerajaan Negeri berpegang pada prinsip bahawa pendidikan adalah hak asasi setiap anak, dan kita (Kerajaan Negeri) mahu memastikan semua pelajar termasuk pelajar SJKT bukan sekadar menerima bantuan, tetapi menjadi pemacu kepada masa depan negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Cek Cura Sumbangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada SJKT, Tadika, Pusat Pendidikan Punjabi dan Telegu di sini sebentar tadi.

whatsapp image 2026 04 08 at 18.02.24 (1)
CHOW Kon Yeow.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil; Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Azrul Mahathir Aziz.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran; ADUN Batu Uban, A. Kumaresan; ADUN Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen serta barisan Jawatankuasa Khas Sekolah-sekolah Tamil, guru besar, guru dan pentadbir sekolah.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa daripada jumlah keseluruhan peruntukan, sebanyak RM768,901 disalurkan kepada 28 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT bagi memastikan fasiliti sekolah berada dalam keadaan kondusif.

Selain itu, RM194,400 diperuntukkan kepada 11 tadika SJKT sebagai pelaburan awal pembangunan modal insan, manakala RM1.336 juta disalurkan kepada Penang Education Council (PEC) untuk memperkukuh infrastruktur dan literasi digital serta kemahiran STEM.

“Sebanyak RM120,000 turut disalurkan kepada tiga pusat pendidikan Punjabi, manakala persatuan Telegu menerima sebanyak RM30,000 sebagai bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan keterangkuman dan keadilan sosial dalam sektor pendidikan,” jelasnya.

whatsapp image 2026 04 08 at 18.02.24
KETUA Menteri ketika berucap pada Majlis Penyampaian Cek Cura Sumbangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada SJKT, Tadika, Pusat Pendidikan Punjabi dan Telegu di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa Kerajaan Negeri kini giat memantau projek pembinaan bangunan baharu antaranya SJKT Rajaji dan SJKT Ladang Byram selain menggerakkan usaha menyediakan tapak bagi SJKT Ladang Batu Kawan.

Tambah beliau, usaha juga dipergiat bagi melengkapkan setiap SJKT dengan kemudahan papan pintar (smart board) dan teknologi digital sebagai persediaan menghadapi cabaran pendidikan masa kini.

“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja mahir bahasa ibunda, tetapi juga berdaya saing dalam bidang teknologi dan inovasi global,” ulasnya lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil atas dedikasi dalam merealisasikan agenda pendidikan negeri.

“Saya berharap setiap peruntukan yang disalurkan dimanfaatkan secara optimum bagi memastikan impak maksimum kepada pembangunan generasi masa depan Pulau Pinang,” katanya ketika menjawab soalan pemberita usai majlis tersebut.

whatsapp image 2026 04 08 at 18.02.23
S. Sundarajoo merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil ketika berucap pada majlis berkaitan di sini.

Terdahulu, Sundarajoo ketika menyampaikan ucapan alu-aluan memaklumkan bahawa pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi menambah baik infrastruktur termasuk menggantikan kerusi dan meja di sekolah-sekolah Tamil di seluruh negeri.

“Saya berharap tahun hadapan (2027), semua sekolah Tamil di negeri ini dapat memiliki kerusi dan meja baharu demi keselesaan termasuk menyediakan tempat ibadat.

Saya juga berharap bahawa sekolah-sekolah Tamil di negeri ini dapat memiliki tanah sendiri suatu hari nanti hasil usaha semua pihak.

“(Dan) pada masa sama, dapat menggerakkan latihan kapasiti kepada guru-guru, guru besar, PIBG dan Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) SJKT demi memastikan pembangunan berterusan baik dalam pendidikan mahupun infrastruktur,” ujarnya.

whatsapp image 2026 04 08 at 18.02.25
KETUA Menteri menyampaikan cek cura kepada salah seorang penerima dengan diiringi tetamu kehormat lain pada majlis berkaitan di Komtar, tadi.

Sementara itu, Jagdeep berkata bahawa pendidikan terutama berkaitan STEM sangat penting kepada semua termasuk kepada komuniti Tamil, Punjabi dan Telegu di negeri ini.

“(Hal ini kerana), Pulau Pinang sedang mengorak langkah menuju ke masa depan yang mampan,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains & Teknologi.

Kumaran yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Pulau Pinang yang juga berucap pada majlis sama, menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas sokongan berterusan kepada sekolah-sekolah Tamil, pusat pendidikan Punjabi dan Telegu di negeri ini.

Difahamkan, penyaluran peruntukan berjumlah RM2.42 juta kepada SJKT, tadika, pusat pendidikan Punjabi serta Persatuan Telugu telah memasuki tahun ketiga pada tahun ini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT