Tiada keperluan mendesak, Pulau Pinang tidak laksana BDR

Admin
img 20260401 wa0053

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak bercadang untuk melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) buat masa ini selepas mengambil kira ketiadaan keperluan mendesak untuk berbuat demikian.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan penilaian semasa terhadap keperluan operasi pentadbiran Kerajaan Negeri serta tahap penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menurut beliau, pelaksanaan BDR juga tidak sesuai untuk dilaksanakan di semua jabatan memandangkan terdapat urusan tertentu yang memerlukan kehadiran secara fizikal di pejabat.

“Sebagai contoh, jabatan yang mengendalikan urusan berkaitan tanah dan perkhidmatan kaunter memerlukan kehadiran pegawai bagi memastikan proses kerja berjalan lancar serta tidak menjejaskan kepentingan rakyat,” katanya pada sidang media dekat sini sebentar tadi.

Kon Yeow menambah, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan awam kekal cekap, berkesan dan responsif terhadap keperluan rakyat.

Dalam masa sama, Kon Yeow menyatakan bahawa sebarang pertimbangan berkaitan kaedah kerja akan terus dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan situasi dan keperluan semasa.

Terdahulu, media melaporkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan langkah tambahan termasuk menetapkan peraturan kerja yang lebih anjal seperti pelaksanaan bekerja dari rumah secara berperingkat bagi penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim memberitahu bahawa pendekatan itu bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan awam di samping menyesuaikan kaedah kerja dengan keperluan semasa.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD