GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menangani masalah gangguan isyarat radio wireless dengan merancang untuk memasang gentian optik bagi menambah baik pengoperasian kamera litar tertutup (CCTV).
Menurut Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye, projek tersebut dibahagikan kepada empat fasa dalam mengatasi isu lagging yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.
“Fasa pertama pemasangan gentian optik adalah bermula dari kawasan George Town ke kawasan Batu Maung yang telah disiapkan pada bulan Mac 2023.
“Fasa kedua pula adalah bermula dari kawasan George Town ke kawasan Batu Ferringhi (siap Ogos 2024) dan fasa ketiga bermula dari kawasan Batu Maung ke kawasan Balik Pulau (siap September 2024).
“Manakala fasa keempat adalah bermula dari kawasan Balik Pulau ke George Town melalui Jalan Tun Sardon dan kawasan Air Itam yang dijangka akan dimulakan pada bulan Julai 2025 serta dijangka siap pada akhir tahun 2026,” ujarnya ketika menggulung perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini hari ini.
Mooi Lye menjawab perkara tersebut susulan berlaku satu kemalangan maut di kawasan Jalan Pasar, Air Itam baru-baru ini.
Namun CCTV di sekitar kawasan itu gagal merekodkan insiden kemalangan maut yang berlaku kerana terdapat masalah teknikal di luar jangkaan iaitu lagging pada imej rakaman video yang disebabkan oleh gangguan isyarat radio wireless.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD