GEORGE TOWN – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menerusi anak syarikatnya, Zakat MAINPP hari ini menerima zakat korporat berjumlah RM2,742,354.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ramli Ngah Talib hadir menyaksikan majlis penyerahan zakat korporat masing-masing daripada pihak Etiqa Takaful, Bank Kerjasama Rakyat dan Bank Islam Malaysia Berhad kepada Timbalan Yang Dipertua MAINPP, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abd Aziz Tajuddin di kediamannya dekat Seri Mutiara.
Turut menyaksikan, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Mohamad Khairi Ghazalli.
“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh institusi zakat tetapi juga mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap kesejahteraan asnaf di negeri ini.
“Semoga sumbangan ini menjadi pemangkin kepada pembangunan ummah yang lebih sejahtera dan inklusif di Pulau Pinang,” kata Mohamad Khairi dalam satu kenyataan bertulis pada 19 Januari 2025.
Buletin Mutiara difahamkan bahawa Etiqa Takaful menyerahkan zakat korporat sebanyak RM1.5 juta, diikuti Bank Kerjasama Rakyat (RM750,354) dan Bank Islam Malaysia Berhad (RM502,000).
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : Pejabat TYT