UMC bina ekosistem kesihatan, bawa nama Pulau Pinang ke peringkat dunia – Exco

Admin
ee1c6534 392b 47d9 9af8 376a79adc0d4 DANIEL Gooi Zi Sen (tiga dari kanan) bersama-sama barisan pemimpin lain menyertai sesi lawatan ke ruang peralatan kesihatan yang dihasilkan, sempena pembukaan kilang baharu UMediC Group Berhad (UMC) di sini pada 15 Ogos 2025.

BUKIT TAMBUN – Pulau Pinang terus mengukuhkan kedudukan sebagai hab inovasi kesihatan global dengan pelancaran rasmi UMediC Group Berhad (UMC) Medical Services di Batu Kawan pada hari ini, yang meliputi pusat kesihatan, perkhidmatan ambulans dan pusat latihan perubatan bertaraf dunia.

42883bf9 b622 41e6 84e1 bce1b5b99fb5
DANIEL Gooi Zi Sen

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, kejayaan UMC adalah kisah inspirasi tempatan yang membuktikan kemampuan Malaysia dan negeri Pulau Pinang menghasilkan penyelesaian kesihatan bertaraf antarabangsa.

“UMC bermula lebih 20 tahun lalu sebagai pengedar peralatan perubatan jenama antarabangsa.

“Kini, ia menjadi pengeluar ‘Buatan Malaysia’ dengan paten sendiri, seperti Hydrox, Airdrox dan Flexidrox yang dieksport ke hampir 40 negara,” katanya semasa merasmikan pembukaan kilang tersebut di Taman Perindustrian Batu Kawan dekat sini pada 15 Ogos 2025.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berkata, pencapaian UMC itu membuktikan produk perubatan keluaran Malaysia mampu memenuhi piawaian antarabangsa tertinggi, termasuk pensijilan Halal, CE, ISO13485 dan ISO9001.

Difahamkan, majlis pelancaran tadi merangkumi tiga komponen utama — UMC Healthcare Centre, UMC Rescue Medic Ambulance Services dan UMC Learning Centre — yang mana bukan sahaja memberi impak ekonomi, tetapi juga manfaat langsung kepada masyarakat.

UMC Healthcare Centre beroperasi dengan moto ‘We Care Like Family’, menawarkan penjagaan kesihatan berlesen, rawatan rapi 24 jam, lawatan doktor dan fisioterapi, zon pemulihan, aktiviti rekreasi untuk kesejahteraan mental, serta kemudahan penjagaan harian, respite care dan resident care untuk pesakit strok serta warga emas.

UMC Learning Centre pula menyediakan pelbagai kursus seperti pertolongan cemas, CPR, keselamatan tempat kerja, ergonomik, penjagaan warga emas dan demensia, pengendalian pesakit secara selamat, bengkel perubatan khusus, serta topik kesihatan umum termasuk pemakanan dan penjagaan kehamilan.

Sementara itu, UMC Rescue Medic Ambulance Services dilengkapi pasukan paramedik bertauliah, peralatan lengkap, perkhidmatan susulan perubatan dan beroperasi 24 jam bagi memastikan bantuan kecemasan pantas dan berkualiti.

Pada masa sama, menurut Zi Sen, kilang pembuatan UMC di Taman Perindustrian Batu Kawan kini diperluas dengan pembukaan kilang kedua, kemudahan ISO5 ‘cleanroom’ dan teknologi ‘blow-fill-seal’, sekali gus mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai pusat pengeluaran peralatan perubatan global.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengucapkan tahniah kepada UMC atas visi, komitmen dan pencapaian mereka. Kejayaan ini bukan sahaja membawa nama Pulau Pinang, malah mengharumkan Malaysia di mata dunia,” katanya.

Turut berucap, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UMC, Lim Taw Seong.

Hadir sama, ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik yang juga Ahli Lembaga bagi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); Pengerusi UMC, Dato’ Sri Ng Chai Eng; CEO InvestPenang, Dato’ Loo Lee Lian; Ketua Pegawai Operasi (COO) UWC Berhad, Dato’ Lau Chee Kheong; dan Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Pulau Pinang, Muhammad Ghaddaffi Sardar Mohamed.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ENG KOK WEI