Usaha pemuliharaan penyu terus diperkasa

Admin
gambar kumpulan,

PULAU BETONG – Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang kini sedang mempergiatkan usaha pemuliharaan penyu dan spesies marin terancam melalui pelbagai inisiatif termasuk penglibatan masyarakat setempat dan peningkatan kesedaran awam.

 

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang, Zarina Zainuddin berkata program seumpama itu penting untuk memastikan kelangsungan spesies penyu, selain memupuk kesedaran komuniti terhadap isu ekosistem marin.

 

pengarah
ZARINA Zainuddin.

 

“Pusat Konservasi Penyu di Pantai Keracut berperanan memulihara penyu yang menjadikan kawasan tersebut lokasi pendaratan utama mereka setiap tahun.

 

“Sebanyak 201 pendaratan penyu direkodkan di kawasan itu, dengan lebih 17,000 biji telur berjaya ditetas dan dilepaskan ke laut pada tahun 2021 sehingga 2024.

 

“Penyu yang dilepaskan akan berenang ke lautan luas sebelum kembali ke lokasi mereka menetas untuk bertelur, sekali gus menunjukkan pentingnya kawasan konservasi seperti Pantai Keracut,” katanya ketika merasmikan Program Kesedaran Penyu “Permata Pulau Pinang” dan Kedamparan Spesis Terancam di sini semalam.

 

Menurut Zarina, pencemaran plastik dan bahan buangan lain terus menjadi ancaman besar kepada spesies marin, yang memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk diatasi.

 

jpn 3
ZARINA memberikan ucapan sempena Program Kesedaran Penyu “Permata Pulau Pinang” dan Kedamparan Spesies Terancam di Sungai Burung.

 

“Saya berharap program kesedaran seperti ini dapat menggalakkan masyarakat untuk mengurangkan pencemaran serta menyokong usaha pemuliharaan penyu dan spesies marin lain,” katanya yang telah berkecimpung selama lebih dua dekad dalam bidang ini.

 

Zarina turut menegaskan bahawa usaha pemuliharaan penyu tidak hanya bergantung kepada pihak jabatan semata-mata tetapi memerlukan sokongan semua pihak.

 

“Pusat konservasi ini telah memulakan program penjagaan telur penyu sejak tahun 1990-an dan hasilnya, kadar hidup anak penyu meningkat secara konsisten saban tahun.

 

“Aktiviti pemuliharaan juga melibatkan kolaborasi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan untuk memperkukuh pelaksanaan langkah-langkah pemuliharaan.

 

jpn 2
PARA peserta sedang menyelesaikan borang soal jawab semasa sesi bengkel.

 

“Program pendidikan dan promosi melalui bengkel serta acara komuniti terus dipergiat untuk mendidik orang ramai tentang kepentingan biodiversiti marin,” jelasnya.

 

Pada kesempatan sama, Zarina turut melaporkan bahawa sebanyak 13 kes kedamparan spesies terancam telah direkodkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, melibatkan tujuh kes dolfin, penyu (5) dan dugong (1).

 

Bagi yang berminat untuk menyokong usaha pemuliharaan ini, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman web atau media sosial rasmi Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang https://www.dof.gov.my/

 

jpn1
ZARINA bersama Penghulu serta pegawai program meneliti informasi berkaitan pemuliharaan penyu di ruang pameran yang disediakan.

 

Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: LAW SUUN TING