SERI DELIMA – Penggunaan kaedah vermikompos mampu mengitar semula sisa organik seperti sayur-sayuran dan buah-buahan bagi menghasilkan produk baja berkualiti tinggi.
Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Rohaizat Hamid berkata bahawa baja tersebut boleh digunakan semula untuk pertanian komuniti, kebun bandar dan projek pertanian lestari.
“Apa yang lebih membanggakan, projek vermikompos ini bukan sahaja digerakkan oleh pelajar, bahkan turut melibatkan komuniti setempat dan para penjaja di Pasar Awam Taman Tun Sardon.
“Saya percaya projek vermikompos ini hanyalah satu permulaan, saya harap ia akan berkembang lebih luas, ini bukan sekadar penghasilan baja tetapi mencipta budaya lestari dan gaya hidup hijau berpanjangan,” ujarnya ketika berucap mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, merasmikan Projek Vermikompos Bersama-samaKomuniti Pasar Awam Taman Tun Sardon di sini 24 Mei lalu.
Hadir sama, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Mohd. Nor Ahmad, Amran Othman; Guru Penyelaras Sekolah Hijau sekolah berkaitan, Law Yee Chen; para guru dan murid-murid terlibat.
Yee Chen ketika ditemui Buletin Mutiara memberitahu, kaedah vermikompos adalah dengan menggunakan cacing yang diberi makan sisa-sisa organik di pasar terbabit.
“Anggaran sisa organik terkumpul (sayur dan buah) di sini adalah 15 kilogram (kg) seminggu, jadi ia akan diberikan kepada cacing-cacing sebelum menghasilkan vermicast (najis) dan vermitea (air kencing).
“Hasil daripada itulah yang boleh digunakan sebagai baja, cara ini sangat ekonomi, mudah dan semula jadi,” jelasnya.