Wira Kuning, tulang belakang kebersihan Bandaraya Pulau Pinang.

Admin
feature image mbpp

SUNGAI PINANG – Dalam usaha memperkukuh pengiktirafan kepada barisan pekerja pembersihan, Kerajaan Negeri bersama-sama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menganjurkan Program Ramah Mesra bagi meraikan barisan Wira Kuning pada 23 Jun 2025.

 

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, inisiatif tersebut adalah bertujuan memberi penghargaan kepada para pekerja pembersihan yang menjadi tunjang penting dalam aspek kebersihan negeri ini.

 

yb jason mugsh
JASON H’ng Mooi Lye

 

“Wira Kuning kita adalah wira tanpa nama yang berkhidmat dalam tugas yang sering kali berdepan cabaran kotor, bahaya dan sukar.

 

“Mereka adalah lambang keberanian dan pengorbanan demi kesejahteraan komuniti kita,” katanya ketika merasmikan program tersebut dekat Balai Rakyat Jalan Patani di sini.

 

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran; Setiausaha Bandaraya, Tuan Sr. Cheong Chee Hong serta barisan Ahli Majlis MBPP.

 

Mengulas lanjut, Mooi Lye memaklumkan bahawa seramai 989 Wira Kuning kini sedang bertugas di bawah MBPP, dengan tujuh daripadanya telah berkhidmat lebih daripada 37 tahun.

 

“Sumbangan mereka adalah hasil daripada dedikasi, komitmen dan kecekalan.

 

menjamu selera
WARGA MBPP menikmati hidangan istimewa semasa majlis penghargaan.

 

“Penghargaan ini adalah sebgai tanda terima kasih kami atas jasa mereka yang memastikan kebersihan dan kesejahteraan bandar raya kekal terpelihara,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.

 

Dalam majlis tersebut, beberapa Wira Kuning yang mencapai tempoh perkhidmatan tertinggi turut menerima pengiktirafan khas, sebagai usaha menyuntik semangat kepada semua pekerja untuk terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.

 

Mooi Lye turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan memastikan kebajikan pekerja barisan hadapan itu terus terjamin melalui pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

 

“Pelaksanaan ini akan dilakukan melalui syarikat anak negeri bagi memastikan Wira Kuning (MBPP) dan Wira Oren (Majlis Bandaraya Seberang Perai) terus diberikan peluang berkhidmat di negeri ini.

 

“Langkah ini juga selaras dengan matlamat menjaga kebajikan pekerja kita,” tambahnya.

 

gamabr 4 orang mbpp
WIRA Kuning MBPP bersama dalam suasana ceria, meraikan semangat kerja berpasukan sempena program penghargaan khas.

 

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa kolaborasi erat antara pihak MBPP, Kerajaan Negeri dan masyarakat setempat mampu menjadikan Pulau Pinang sebagai model bandar raya yang bersih dan selesa.

 

“Program seperti ini akan mengukuhkan lagi komitmen kita dalam mencapai Visi Penang2030, iaitu membina negeri yang bersih, hijau, selamat dan ceria untuk semua,” katanya.

 

Oleh & Gambar: M. DANESWARAN