Yang Mulia Toh Puan terima Darjah Utama Pangkuan Negeri

Admin
f5d0155b c547 49bd 9aeb 70e537e0a0d7 PEGAWAI Istiadat (berdiri, kiri) memohon perkenan memulakan Istiadat Penganugerahan Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N) daripada Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib (duduk, dua dari kanan) kepada Yang Mulia Toh Puan Raja Dato’ Seri Utama Noora Ashikin Raja Abdullah (duduk, kanan sekali), sambil disaksikan oleh Ketua Menteri (duduk, dua dari kiri) dan isteri di sini pada hari ini.

GEORGE TOWN – Isteri kepada Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang Kesembilan, Yang Mulia Toh Puan Raja Dato’ Seri Utama Noora Ashikin Raja Abdullah menerima Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N) pada Istiadat Penganugerahan Khas di sini hari ini.

Yang Mulia Toh Puan menerima anugerah tertinggi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama yang disampaikan oleh TYT, Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib.

Istiadat penganugerahan Darjah disaksikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta isteri, YABhg. Puan Tan Lean Kee; Yang Dipertua Negeri Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Law Choo Kiang serta isteri; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid serta isteri; Exco-Exco Kerajaan Negeri dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Dalam majlis penuh istiadat berkaitan, Mufti Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman memimpin bacaan doa.

Yang Mulia Toh Puan dilahirkan pada 4 Februari 1948 dan dibesarkan di lpoh, Perak serta merupakan anak kepada Yang Mulía Raja Abdullah Raja Syed Salim iaitu seorang tokoh perlombongan bijih timah Melayu dari Perak.

Yang Mulia Toh Puan telah mendirikan rumah tangga bersama Tun Ramli pada tahun 1973, dan telah dikurniakan empat cahaya mata dan cucu (7).

Yang Mulia Toh Puan sebelum ini telah mengasaskan Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI) iaitu sebuah pertubuhan isteri-isteri kepada wakil rakyat di Perak pada 13 Disember 1983 dan sekali gus dilantik sebagai Presiden Pengasas.

Yang Mulia Toh Puan turut berperanan sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Women’s Institute of Management (WIM) sejak tahun 1997, iaitu sebuah institusi yang memfokuskan kepada pembangunan wanita dalam bidang pendidikan, kepimpinan, keusahawanan serta memberi fokus kepada ibu tunggal dan wanita yang memerlukan peningkatan kemahiran untuk meningkatkan mata pencarian mereka.

Yang Mulia Toh Puan juga merupakan seorang tokoh wanita yang berpengaruh dalam pelbagai bidang termasuk kemanusiaan, kebajikan, sukan dan pembangunan wanita.

Yang Mulia Toh Puan pernah menjadi Presiden Persatuan Hoki Wanita Malaysia dan Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) serta dikenali kerana memperjuangkan keadilan dan pembangunan hoki wanita di Malaysia selain merupakan Exco Persatuan Siswazah Wanita Malaysia.

Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N) adalah darjah tertinggi di Pulau Pinang yang mana ia telah dizahirkan pada tahun 1967, dan dikurniakan kepada orang perseorangan yang telah berbuat jasa yang amat cemerlang kepada negeri Pulau Pinang.

Mereka yang dikurniakan darjah berkaitan mempunyai kedudukan yang terulung serta berpengaruh. Darjah tersebut membawa gelaran Dato’ Seri Utama dan isteri penerima digelar Datin Seri.

Kurniaan berkenaan dihadkan kepada 20 orang yang masih hidup, tidak termasuk bukan warganegara Malaysia yang boleh dikurniakan anugerah ini secara kehormat.

Darjah kebesaran tersebut mengandungi kalung, bintang, selepang dan lencana darjah.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : LAW SUUN TING