Zakat MAINPP bantu biayai kos rawatan glaukoma

Admin
img 0217 MOHAMAD Abdul Hamid (kanan) dengan diiringi Mohamad Khairi Ghazalli (tengah) menyerahkan surat kelulusan permohona. bantuan Zakat MAINPP untuk kos rawatan Glaukoma kepada Fadzley Hassan (kiri) di kediamannya dekat Machang Bubuk pada 19 Ogos 2025.

MACHANG BUBUK – Seorang staff Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima bantuan zakat sebanyak RM1,300 untuk membiayai kos rawatan kali pertama bagi sakit glaukoma yang dihadapinya.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dengan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Mohamad Khairi Ghazalli menyampaikan sumbangan bantuan zakat tersebut kepada Fadzley Hassan di kediamannya dekat Kampung Kijang, Alma di sini pada 19 Ogos 2025.

“Penerima dikenal pasti di bawah kategori asnaf fakir dan miskin, tidak mampu membiayai kos rawatan sakit glaukoma pada kedua-dua belah matanya.

“Saya difahamkan beliau telah menjalani pembedahan mata sebelah kiri beberapa bulan lepas, (yang mana ketika ini) beliau memerlukan lima suntikan dengan kos setiap satu suntikan adalah RM1,300.

“Pada hari ini, saya datang mengagihkan bantuan zakat bernilai RM1,300 untuk kos rawatan penglihatan beliau, jadi untuk kos rawatan seterusnya Encik Fadzley boleh membuat tuntutan daripada Zakat MAINPP,” jelasnya sambil mendoakan Fadley cepat sembuh.

Di samping itu, Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon kerana mengetengah permohonan bantuan zakat bagi pihak Fadzley, untuk tindakan lanjut daripada Zakat MAINPP.

Fadzley yang ditemui kemudian berkata, beliau sekeluarga terharu kerana Mohamad sendiri bertandang ke kediamannya bagi menyerahkan surat kelulusan bantuan zakat berwajib.

“Saya mengalami masalah penglihatan (yang mana) mata sebelah kiri telahpun dibedah, cuma saya memerlukan sedikit dana bantuan zakat untuk rawatan mata sebelah kanan sahaja.

“Doktor yang merawat saya memberitahu buat masa sekarang, saya hanya memerlukan suntikan ubat sebanyak lima kali, dengan kos setiap suntikan adalah sebanyak RM1,300.

“Terima kasih kepada Zakat (MAINPP) dan Timbalan Ketua Menteri I sendiri serta Pusat Khidmat Rakyat ADUN Machang Bubuk atas segala bantuan, moga-moga penglihatan saya dapat sembuh kembali,” ujarnya.

Difahamkan, Fadley menjalani pembedahan mata kirinya pada 5 Jun lepas, iaitu dua hari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha dan kini masih menjalani pemeriksaan susulan.

Berkerja sebagai pembantu belia dan sukan di USM, Fadzley mempunyai dua cahaya mata berusia 16 tahun dan 9 tahun.

Sebelum pada itu, Mohamad turut ke rumah keluarga pesakit Osteogenesis Imperfecta (OI) atau penyakit tulang rapuh bernama Khayla Adha Mirza Imran, 9, bagi menyerahkan tajaan bantuan tambahan khusus sewa rumah yang berjumlah RM1,100; bermula Ogos ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD