Zakat MAINPP taja sewa rumah, ringankan beban keluarga pesakit tulang rapuh

Admin
90a56d90 e2da 4973 8d6e 56e209da528a MOHAMAD Abdul Hamid (kiri sekali) dengan diiringi Mohamad Khair Ghazalli (kanan sekali) menyerahkan surat kelulusan bantuan tambahan zakat untuk kos sewaan rumah kepada Imran Mohd Yusoff (dua dari kiri) iaitu ayah kepada Khayla Adha Mirza di sini pada 19 Ogos 2025.

SEBERANG JAYA – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menerusi anak syarikatnya, Zakat MAINPP hari ini menyerahkan bantuan sewa rumah bulanan berjumlah RM1,100 untuk tempoh setahun kepada keluarga pesakit Osteogenesis Imperfecta (OI) atau penyakit tulang rapuh, Khayla Adha Mirza Imran, 9.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua MAINPP dengan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Mohamad Khairi Ghazali sendiri menyerahkan surat kelulusan bantuan tambahan zakat tersebut kepada ayah pesakit, Imran Mohd Yusoff, 46, di kediaman mereka dekat Taman Pauh Jaya di sini pada 19 Ogos 2025.

Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Perpaduan Masyarakat berkata pada 22 Mei 2024 Khayla Adha Mirza telahpun menerima sumbangan zakat sebanyak RM30,000 setahun secara sekali bayar (one-off) untuk membiayai kos perubatannya.

“Pada tahun lepas (2024), Zakat MAIPP meluluskan sejumlah RM30,000 yang mana adik Khayla Adha Mirza boleh mengambil barang keperluannya seperti lampin pakai buang dan sebagainya di farmasi yang dilantik serta rawatan-rawatan tertentu lain dengan dana bantuan zakat itu.

“Bantuan zakat sejumlah RM30,000 ini tidak cukup untuk penyakitnya yang unik, jadi pada tahun ini Zakat MAINPP meluluskan semula bantuan zakat keseluruhannya berjumlah RM75,600 bagi tempoh setahun.

“Pun begitu, kos rawatan dan barang-barang keperluan yang diperlukan oleh adik Khayla Adha Mirza ini dikenal pasti turut mengakibatkan sumber pendapatan ayah dan ibunya (Khairol Niza Zaffarullah Khan, 45) terjejas.

“Kita nak bantu dengan menyediakan (unit kediaman) Inapan Kasih dengan menggunakan dana bantuan zakat, mereka tidak ada tanah untuk tapak pembinaan rumah.

“Selepas permohonan bantuan yang dibuat oleh ibu bapa kepada adik Khayla Adha Mirza selepas dibuat penilaian permohonan oleh Zakat MAINPP, akhirnya diluluskan tajaan sebanyak RM1,100 sebulan bermula pada bulan ini (Ogos 2025),” jelasnya kepada Buletin Mutiara.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung memberitahu bahawa sebelum hari ke-28 setiap bulan, ibu bapa kepada adik Khayla Adha Mirza boleh membuat tuntutan bantuan sewa kediaman daripada Zakat MAINPP.

Terdahulu, Imran memberitahu bahawa anak bongsu dari tiga adik beradik itu memerlukan dua kali dos penggalak ‘stemcell’ tiap-tiap bulan yang mana setiap suntikan bernilai kira-kira RM2,400.

Itu, menurut Imran lagi, tidak termasuk kos suntikan ‘stemcell’ darah dua bulan sekali, yang mana setiap kali suntikan menelan belanja sebanyak RM11,400.

Kos perubatan tahunan buat Khayla Adha Mirza adalah kira-kira RM126,000.

Difahamkan, penyakit Khayla Adha Mirza bukan hanya menyebabkan tubuhnya hilang keupayaan untuk berjalan, malah patah tulang tangan dan kaki lebih 60 kali sejak dilahirkan.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Hong Leong Bank bernombor 05351090018 atas penama Khairol Niza Zaffarullah Khan atau menghubunginya di talian 011-3712 7515 atau Imran (018-402 3079).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD