13 ditahan curi kayu gaharu

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Seramai 13 warga Vietnam ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang dipercayai mencuri kayu gaharu di premis bernombor 875, Padang Lalang Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS) baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, hasil serbuan, pihak penguatkuasa berkenaan menemui 5 kilogram kayu gaharu, peralatan menebas dan peralatan mengelas dipercayai milik suspek.

“Suspek-suspek ditahan di lokap Balai Polis Bukit Tambun dan direman sebelum dibawa ke mahkamah.

“Sekiranya didapati bersalah, suspek bakal menghadapi hukuman penjara dan didenda sehingga RM20,000,’’ katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Kayu gaharu merupakan spesis tumbuhan yang dilindungi dan ianya cukup berharga kerana digunakan dalam penghasilan minyak wangi serta peralatan sembahyang.

Di Pulau Pinang, lokasi tumpuan kegiatan mencuri kayu gaharu adalah sekitar Taman Negara Teluk Bahang, Teluk Bahang dan hutan di Taman Botani hingga Bukit Bendera.

Guan Eng dalam pada itu menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan tersebut supaya menghubungi polis atau pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.