Amal asing sisa di punca jaga alam sekitar, jana pendapatan JMB – ADUN

Admin

Gambar : ADUN

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai memberitahu bahawa Dasar Pengasingan Sisa Di Punca bukan sahaja dapat memulihara kediaman rumah pangsa setempat, bahkan mampu menjana pendapatan baharu untuk persatuan penduduk.

Hon Wai berkata demikian pada Majlis Jamuan Aidilfitri dan Program Taklimat Dasar Pengasingan Sisa Di Punca, anjuran Badan Pengurusan Bersama (JMB) Shineville Garden, Lebuhraya Thean Teik dan Pusat Khidmat ADUN Air Itam di sini baru-baru ini.

“Sejak Jun tahun lalu, program ini telah dijalankan di sembilan kawasan atau rumah pangsa di KADUN Air Itam iaitu di Taman Happy Valley, Flat Taman David Chen, Flat Taman Pisang Awak, Kampung Shaik Eusoff, Flat Taman Sri Timur, Flat Fairy Height Blok 137, Flat Fairy Height Blok 138, Desa Mawar dan Shineville Garden.

“Pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca yang telah digerakkan secara aktifnya sejak Jun tahun lalu dijangka mampu menjimatkan kos pengurusan sisa pepejal, di samping menjaga alam sekitar,” jelasnya yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.

Justeru, Hon Wai menyeru rakyat di kawasan atau rumah pangsa sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam supaya terus saling memberi kerjasama kepada kempen kesedaran menjaga alam sekitar, yang dianjurkan oleh persatuan penduduk hatta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kelak.

Terdahulu, Guan Eng yang juga ADUN Air Putih dalam Program Taklimat Dasar Pengasingan Sisa Di Punca peringkat KADUN berkenaan menyatakan bahawa amalan dasar tersebut yang dilaksanakan di bahagian pulau dan Seberang Perai mampu menjimatkan sumber dana kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan berjumlah kira-kira RM2.38 juta.