Pulau Pinang negeri terbersih 2018, Maimunah yakin komitmen warga kerja 3D

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MBPP

BAYAN LEPAS – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif yakin bahawa Pulau Pinang mampu menduduki tempat pertama sebagai negeri terbersih bagi tahun 2018.

Menurut beliau, tiada yang mustahil sekiranya Pekerja Am MBPP yang melakukan kerja-kerja pembersihan awam memberikan komitmen dalam melaksanakan tugas.

“Jika tahun ini MBPP mampu mencapai tempat ketiga di belakang Terengganu dan Perak, tidak mustahil tahun hadapan Pulau Pinang merampas tempat pertama sebagai negeri terbersih.

“Saya yakin dengan warga MBPP yang ada di hadapan saya ini mampu memberikan pencapaian terbaik serta komitmen sepenuh hati dalam menjalankan kerja-kerja pembersihan di sini.

“Saya berharap anda semua tidak mudah patah hati dalam menjalankan tugas seharian serta berbangga dengan tugasan yang diberi dan mestilah bersemangat dalam menjadikan Pulau Pinang negeri yang bersih.

“Manakala, bagi orang awam pula, saya ingin menyeru agar kita semua dapat meningkatkan tahap kebersihan di kawasan sekitar, serta mengubah sikap ke arah yang lebih baik dalam mencapai sasaran negeri terbersih tahun hadapan,” ucap Maimunah pada sesi pertemuan bersama-sama warga kerja pembersihan awam (3D) dekat Dewan MBPP Jalan Rajawali di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Ar. Yew Tung Seang, Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MBPP.

Maimunah dalam pada itu, turut mengingatkan semua warga MBPP tentang betapa pentingnya integriti ketika bertugas.

“Integriti ini tidak terhad kepada rasuah semata-mata, ianya merangkumi soal kehadiran, tidak lewat masuk kerja, menipu sijil cuti sakit dan lain-lain.

“Kita (MBPP) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap pekerja-pekerja yang gagal mematuhi disiplin dan integriti bekerja,” jelasnya yang mahu warga kerjanya berpegang kepada tanggungjawab dan intergriti dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

Sementara itu, Maimunah turut meluangkan masa beramah-mesra dengan pekerja 3D dan mandur yang hadir sebelum bergambar kenangan bersama-sama.