Amalkan 10,000 langkah sehari untuk kekal sihat

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Orang ramai disarankan supaya membudayakan amalan berjalan 10,000 langkah sehari untuk kekal sihat.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng ketika menyuarakan saranan itu berkata, dalam usaha membentuk sebuah negeri yang warganya sihat, orang ramai khususnya golongan belia disarankan supaya mengamalkan berjalan 10,000 langkah sehari.

“Kalau anda tidak mampu berlari, anda boleh mulakan dengan berjalan kaki, mulakan dengan langkah yang ‘kecil’ dan lama-kelamaan anda mampu berjalan 10,000 langkah sehari.

“Begitu juga mereka yang kerja di pejabat, anda boleh mengambil peluang menggunakan tangga daripada menggunakan lif,” sarannya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang acara Penang Run 2017 dekat Jalan Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Turut berucap, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif dan Pengerusi Penganjur Penang Run 2017, Andrew Loh.

Chong Eng dalam ucapannya memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini menyusun pelbagai acara sukan yang sesuai untuk semua peringkat umur.

“Malah, saya juga ingin menggesa mana-mana penganjuran acara sukan selepas ini turut mengadakan acara bersama keluarga.

“Contohnya, acara larian, wujudkan juga kategori larian gembira bersama keluarga, jadi kita akan dapat lihat satu keluarga meluangkan masa melakukan aktiviti yang sihat.

“Bukan hanya bapa atau ibu sahaja yang menyertai acara larian, tetapi juga anak-anak…inilah yang Kerajaan Negeri mahu, seluruh ahli keluarga mengamalkan gaya hidup sihat.

“Kerajaan Negeri mahu ia dijadikan trend dan ikutan bukan sahaja di Pulau Pinang juga di seluruh negara,” ujarnya.

Sementara itu, Maimunah yang turut menyertai larian ria 4 kilometer berasa teruja dengan sambutan yang diberikan.

“Saya difahamkan acara Penang Run Edisi Ke-10 ini menerima penyertaan 4,500 peserta dari 20 negara seluruh dunia.

“Malah, saya sendiri tadi berkesempatan berjumpa dengan salah seorang pelari dari Tokyo, Jepun yang datang ke Pulau Pinang semata-mata untuk menyertai Penang Run ini,” katanya.

Sebagai rekod, acara Penang Run dimulakan pada tahun 2013 dan tahun ini merupakan edisi ke-10 diadakan.