Ayam piru pemberian abang dorong kejayaan Hashim

HASHIM Ayob.
HASHIM Ayob.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

BERMULA daripada hobi dan tiga ekor ayam piru hasil pemberian abangnya, kini, Hashim Ayob, 54, merupakan penternak berjaya yang menjadi rujukan Jabatan Verterinar Negeri Pulau Pinang berkait bidang berkenaan.

 

Selain menjual daging, Hashim yang telah 14 tahun menceburi bidang penternakan ayam piru turut menjual telur, anak dan baka spesies burung yang turut dikenali sebagai ayam belanda dalam bahasa formal.

 

“Bermula dari hobi, saya dapat free tiga ekor iaitu dua ekor ibu, seekor jantan, abang bagi sebab kawasan rumah luas dan penuh hutan.

 

“Abang bagi untuk bersihkan rumput di kawasan rumah sebab ayam piru memang kuat makan,” katanya memulakan perbualan kepada skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara baru-baru ini.

 

Enam bulan selepas itu, ayam piru dibelanya bertelur sebanyak 30 biji dan hasil jualan, beliau memperoleh RM3,000.

 

Bermula dari situ, terdetik dalam sanubari Hashim untuk memperkembangkan bidang ternakan ayam piru. Dengan modal RM120, beliau membina reban di belakang kediamannya di Kubang Menerong, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara.

 

BAKA ayam piru import yang diternak.
BAKA ayam piru import yang diternak.

“Apabila ada duit, saya akan tambah reban demi reban dan menambahbaik berdasarkan keperluan.

 

“Di reban itulah, ditempatkan 200 ekor ayam piru termasuk anak di reban anak dan baka di reban baka,” jelasnya.

 

Menurut Hashim, beliau lebih menfokuskan kepada ayam piru baka import kerana tempoh tumbesarannya yang lebih cepat berbanding tempatan.

 

“Contohnya, daging ayam piru baka import dari Sepanyol dan Australia dapat dijual dalam tempoh tiga bulan berbanding tempatan, enam bulan.

 

“Malah, bagi pasaran anak, baka import seperti British Brown dan yang dari Sepanyol adalah berharga RM100 seekor berbanding tempatan, RM8,” ujar beliau.

 

Mengulas mengenai corak pemakanan ayam piru, Hashim yang dikurniakan tiga cahaya mata menyatakan bahawa selain pelet, turut diberi adalah hampas soya, hampas kelapa sawit, sisa-sisa makanan, batang pisang, rumput nipel Taiwan yang berprotein tinggi.

 

TELUR-telur yang ditempatkan di dalam mesin akubator diperiksa dari semasa ke semasa.
TELUR-telur yang ditempatkan di dalam mesin akubator diperiksa dari semasa ke semasa.

Walaupun mempunyai permintaan tinggi di seluruh negeri, bidang perusahaan berkaitan turut berdepan dengan risikonya tersendiri.

 

Paling utama adalah serangan virus hawar.

 

“Lima tahun lalu, semua 300 ekor anak ayam piru saya mati dalam tempoh dua hari akibat diserang virus hawar.

 

“Sedih memang sedih, tapi seronok juga sebab ia mendorong saya untuk belajar simptom penyakit dan virus, juga cara nak kawal penyakit.

 

“Ada baiknya, sebab Tuhan nak bagi ilmu kepada kita,” ulas Hashim tenang.

 

Sepanjang pembabitannya dalam bidang tersebut, Hashim amat berterima kasih kerana memperoleh sokongan dan dorongan berterusan daripada Jabatan Veterinar Negeri Pulau Pinang.

 

“Selepas semua baka dan anak ayam piru saya mati diserang hawar, veterinar (Jabatan Veterinar Negeri Pulau Pinang) bagi baka, khidmat nasihat dan infrastruktur bagi membangunkan semula penternakan sedia ada.

 

“Dari sana, kami belajar sama-sama dan memang saya akan bagi latihan secara percuma kepada mereka yang berminat,” katanya yang mempunyai perancangan mengendalikan kursus percuma pada waktu malam kepada individu serta pengusaha berminat kelak.

 

Sebagai tambahan, Hashim yang turut menternak 30 ekor angsa, itik dan lain-lain ternakan secara sampingan dan kecil-kecilan juga berharap supaya Malaysia tidak lagi perlu mengimport baka ayam piru dari luar negara.

 

“Malaysia mempunyai banyak tanah terbiar, sepatutnya, ia digunakan dengan berfaedah terutamanya dalam memperkembangkan bidang ternakan serta pertanian,” seru beliau.

 

Tiada kejayaan dapat dicapai sekiranya seseorang tidak tanamkan sifat rajin selain minat yang mendalam.

 

ANAK-anak ayam piru yang baru menetas.
ANAK-anak ayam piru yang baru menetas.

Setiap hari, rutin Hashim adalah bermula seawal 8 pagi dengan memberi makan, membersihkan reban, rawatan rapi termasuk suntikan mengikut jadual dan juga pemerhatian telur-telur yang ditempatkan di mesin akubator ‘gergasi’ miliknya.

 

Melihat mesin akubator Hashim, ia adalah lain daripada penternak yang pernah diwawancara penulis sebelum ini.

 

Berdasarkan saiznya, Hashim menyatakan bahawa ia mampu menempatkan 18,000 biji telur pada satu-satu masa.

 

Kini, Hashim bersyukur kerana minatnya dalam bidang tersebut berjaya diperturunkan kepada anak keduanya yang bakal meneruskan perusahaan tersebut.

 

 

INFO :

012 – 564 8055