Baiki lif rosak 4 tahun melalui HAPPY!

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Para penghuni Pangsapuri Taman Lembah Sungai akhirnya menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri bersetuju membiayai 80 peratus kos pemasangan lif baharu bagi kemudahan semua pihak di sini baru-baru ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri membiayai RM237,600 iaitu 80 peratus daripada kos keseluruhan sebanyak RM297,000.

Manakala, selebihnya dibiayai penghuni pangsapuri tersebut iaitu RM47,600 dan RM11,800 adalah hasil sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng.

Jelas Jagdeep, pihaknya menerima permohonan daripada Badan Pengurusan Bersama (JMB) Taman Lembah Sungai lewat tahun lalu.

“Setelah pemantauan dibuat, didapati lif di sini telah rosak sejak empat tahun lalu dan tiada usaha untuk membaikinya sehinggalah JMB baru mengambil alih tahun lalu.

“Kita (Kerajaan Negeri) prihatin dengan keluhan dan keperitan penghuni di sini, oleh itu melalui HAPPY! kita beri jaminan akan membantu penghuni rumah-rumah pangsa di sini untuk menjalani kehidupan yang lebih selesa dan selamat,” katanya ketika melawat kerja-kerja penyelenggaraan dan pemasangan lif baharu di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Lai Heng, Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Jawa serta wakil-wakil penduduk Taman Lembah Sungai.

Kerja-kerja penyelenggaraan dan pemasangan lif baharu di dua blok Pangsapuri Taman Lembah Sungai tersebut bermula sejak awal Oktober lalu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan Januari 2015.