Bawa anak-anak OKU renang, riadah – Exco

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

PADANG LALANG – Kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) wajar diberikan peluang oleh ibu bapa dan guru masing-masing untuk mengembangkan bakat di Kompleks Renang Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di sini.

Exco Belia & Sukan dan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng berkata demikian selepas menyaksikan kebolehan seorang pelajar OKU, Mohamad Nur Faris Ghazali, 10, yang mampu berenang seperti orang normal.

“Dalam kalangan kita (ibu bapa), ada yang berpendapat bahawa anak-anak OKU ini tidak boleh melakukan apa-apa dan patut duduk di rumah sahaja.

“Tetapi, anak-anak kita mempunyai bakat tersendiri jika diberi peluang seperti kanak-kanak normal yang lain,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Menurut Chong Eng, sukan bukan sahaja merupakan salah satu aktiviti untuk OKU membuktikan kemampuan masing-masing, bahkan boleh meraih sumber pendapatan tersendiri jika seseorang itu berpeluang mewakili negeri ke sukan paralimpik di peringkat nasional atau antarabangsa.

“Ia (sukan) boleh merawat fizikal dan pemikiran…saya dapati ramai OKU mencapai keputusan yang cemerlang sampai ke peringkat Sukan SEA dan Paralimpik Asia.

“Kalau mereka (OKU) diberikan peluang, kadang-kadang prestasi mereka lebih baik dengan membawa pulang pingat kepada negeri,” jelas Chong Eng.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memuji atlet OKU negeri, Rabiatul Adawiyah Mohamad Azhar, 17, yang berjaya merangkul pingat Perak pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 di Perak, serta dipilih menerima Anugerah Olahragawati Paralimpik 2014 daripada Kerajaan Negeri.

Chong Eng memberitahu, Kerajaan Negeri turut menyumbang peruntukan sebanyak RM20,000 tiap-tiap tahun kepada Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON) Pulau Pinang, demi menyokong programprogram membabitkan OKU di negeri ini.

Dalam pada itu, Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, sebanyak RM200,000 diperuntukan pada tahun ini untuk tujuan meningkatkan kemudahan infrastruktur fizikal supaya lebih mesra OKU, berbanding RM100,000 sahaja pada tahun sebelumnya.

Manakala, Pengerusi PESRON merangkap Ahli Majlis MPSP, Dr. Tiun Ling Ta pula memberitahu bahawa terdapat 10 lokasi meliputi pelbagai jenis sukan di negeri ini disediakan khas untuk OKU beriadah serta mencungkil potensi masing-masing.

Pada sidang media sama, ibu kepada Mohamad Nur Faris, Halizah Ismail, 45, melahirkan penghargaan kepada pihak Sekolah Pendidikan Khas Permatang Tinggi dan Kerajaan Negeri kerana memberi sokongan kepada anaknya.

“Saya dan suami (Ghazali Saad, 46) memang terkejut apabila jurulatih renang serta guru sekolah memberitahu bahawa tidak lama lagi anak saya mampu berenang seperti kanak-kanak normal yang lain, tanpa peranti pelampung lagi,” jelas beliau.

Frederick Tan Teik An (Pengerusi Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, MSNPP) dan Pengerusi Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Pulau Pinang (PESRON) merangkap Ahli Majlis MPSP, Dr. Tiun Ling Ta turut sertai sidang media mempromosi program riadah dan gaya hidup sihat membabitkan komuniti OKU di negeri ini.

}