Bengkel CPR, mungkin pecah rekod MBOR – Exco

Admin

Gambar : KOAYSHIANN HUAH

AIR ITAM – Seramai 6,000 pelajar dan orang awam menyertai bengkel resusitasi kardiopulmonari (CPR) di perkarangan Sekolah Menengah Han Chiang di sini baru-baru ini, sekaligus mungkin memecahkan rekod berwajib dalam Malaysian Books of Records (MBOR).

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, angka penyertaan itu lebih ramai berbanding 4,459 peserta yang menyertai program serupa di Johor pada tahun 2006.

“Saya langsung tidak terfikir yang hari ini, aktiviti Mass CPR ini akan melibatkan begitu banyak penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat iaitu lebih 6,000 orang, yang seterusnya memungkinkan memecahkan rekod Malaysian Books of Records,” ujarnya dalam nada kagum dan terkejut, semasa Majlis Perasmian Karnival Mass CPR 2015 di sini baru-baru ini.

Dr. Luah Lean Wah selaku pengerusi penganjur mewakili empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Penang CPR Society, St. John Ambulans Malaysia, Malaysian Red Crescent Society dan Lions Club International District 308 B2 turut berucap pada majlis bersejarah tersebut.

Menurut Afif, karnival seumpama itu diharap dapat mendedahkan ilmu serta pengalaman kepada komuniti mengenai langkah kecemasan menyelamatkan nyawa seseorang yang diserang sakit jantung.

“Apabila jantung berhenti, dalam masa tiga hingga empat minit sahaja, mangsa mungkin akan mengalami kecederaan otak yang serius disebabkan kekurangan oksigen ke otak.

“Kecemasan ini berlaku di mana-mana tidak kira siang atau malam…lebih baik jika setiap orang tahu cara membuat CPR kerana ia (CPR) sememangnya boleh menyelamatkan seseorang, khasnya dalam saat-saat genting,” seru beliau.