Berganding bahu bersihkan kawasan pasca banjir Ladang Hong Seng

PULAU TIKUS – Seramai 60 sukarelawan dan pekerja awam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berganding bahu bersama-sama membersihkan sekitar kawasan Ladang Hong Seng yang terjejas akibat banjir terburuk yang berlaku pada 4 dan 5 November lalu.

Diiringi semangat bersatu-padu, kerja-kerja pembersihan seperti mencuci jalan, membersihkan parit dan longkang tersumbat serta mengalihkan sampah-sarap dijalankan seawal jam 8 pagi.

Ahli Majlis bagi MBPP, Chris Lee Chun Kit yang turut menyertai aktiviti tersebut berkata, inisiatif tersebut adalah bagi membantu penduduk setempat di ladang berkenaan agar pulih sepenuhnya seperti keadaan sebelumnya.

“Penduduk kampung telah bergelut sejak banjir 4 dan 5 November, kami memahami kesusahan dan kecekalan mereka.

“Usaha pembersihan ini sememangnya menjadi keutamaan, kita (MBPP) mahu pastikan setiap kawasan dan masyarakat yang terjejas agar pulih dan bangkit sepenuhnya daripada kejadian tersebut,” ujarnya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Aktiviti kesukarelawan tersebut diadakan dengan kerjasama di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang, MBPP, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Ladang Hong Seng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus.