Berkawan bina Satay Ibrahim – Mat Jamil

CERDIK tak membuang kawan, gemuk tak membuang lemak.

Itu pedoman yang dikongsi oleh personaliti akhbar Buletin Mutiara (BM) kali ini, Mat Jamil Saad, 47, semasa diwawancara mengenai kejayaan menubuhkan Kilang Satay Ibrahim dekat Teluk Kumbar baru-baru ini.

Menurut Mat Jamil, kilang memproses sate itu adalah simbol persahabatan beliau dengan empat rakan kongsi lain.

“Mereka adalah dua anak “Pak Ibrahim”, seorang cucu kepada pengasas resepi enak itu, dan seorang lagi adalah kenalan berniaga di pasar malam.

“Susah berkawan dalam berniaga ini sebenarnya lebih senang kerana masing-masing saling nak berkawan dan nak berniaga,” ujar Mat Jamil kepada wartawan akhbar BM, ZAINULFAQAR YAACOB baru-baru ini.

Dorongan
Menurut Mat Jamil, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP) pada dua tahun lepas ada menyatakan hasrat mewujudkan perniagaan contoh untuk dijadikan aras tanda kepada kaum peniaga kecil di negeri ini.

Mat Jamil dan lapan rakan lain melalui Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam Pulau Pinang (PPPMPP) pada dua tahun lepas dipelawa untuk mengikuti kursus intensif perniagaan komersial selama tiga hari dua malam di Serdang, Selangor di bawah kendalian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Selepas balik dari kursus itu, akhirnya, kami (PPPMPP) setuju buat perniagaan sate pada awal tahun lepas kerana itu makanan popular orang Melayu, Cina dan India, semua makan satay.

“Saya pelawa dua anak arwah Pak Ibrahim dan cucunya serta seorang lagi kawan saya untuk bersama-sama menubuhkan Kilang Satay Ibrahim ini atas semangat berniaga dan berkawan,” ujar beliau.

Mat Jamil berkata, lima mereka masing-masing bersetuju mengeluarkan modal pemulaan sebanyak RM5,000 semasa menubuhkan Kilang Satay Ibrahim.

“Lebih kurang 10,000 sate dihasilkan ikut permintaan tiap-tiap hari, kadang-kadang permintaan harian mencecah lebih 15,000 batang cucuk.

“Dengan modal permulaan itu serta bantuan banyak pihak, kilang Satay Ibrahim kini lengkap dengan mesin sofistikated untuk menghasilkan sate secara komersial, selain, disokong oleh 10 pekerja dari kalangan orang tempatan di sini,” jelas Mat Jamil.

Pun begitu, katanya, masih banyak lagi perlu dilakukan untuk mengkomersialkan produk tersebut di luar negeri ini, walaupun Satay Ibrahim ini sudah mempunyai peminat tersendiri sejak lebih 30 tahun dulu di negeri ini.

Bagi Mat Jamil sendiri, menguruskan Kilang Satay Ibrahim bagaikan kerjaya sepenuh masanya, walaupun beliau sebenarnya berniaga bihun sup di Pasar Malam Pondok Upeh dekat Balik Pulau dan Pasar Malam Permatang Damar Laut dekat Batu Maung.

Peniaga Melayu terpinggir
Mat Jamil secara tegas menolak dakwaan sesetengah kononnya peniaga Melayu ‘susah nak cari makan’ di Pulau Pinang, ekoran penguatkuasaan undang-undang berwajib oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

“Kalau benar terpinggir, saya sendiri tak boleh membuka Kilang Satay Ibrahim kerana saya pun Melayu,” seloroh beliau.

Mat Jamil yang juga Timbalan Pengerusi PPPMPP berkata, kedudukan penjaja pada era ‘Kerajaan Hari Ini’ sebenarnya jauh lebih baik berbanding sebelumnya.

“Cina atau India pun banyak seperti Melayu, berdepan tindakan penguatkuasaan kerana berniaga di tempat yang salah… ini isu penguatkuasaan, bukan peminggiran mana-mana kaum.

“Kalau dulu (sebelum Mac 2008), penjaja tidak mempunyai hak untuk menguruskan sendiri pasar malam kerana atas alasan di kawasan perumahan dan atas jalan…amalan biasa memberi hak (mengurus pasar malam kepada) JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti), persatuan penduduk dan KRT (Kelab Rukun Tetangga).

“Tetapi, kita (PPPMPP) diberikan lesen penganjuran (pasar malam) di Tapak Pesta (dekat Bayan Baru) dan Jalan Tull (dekat Hospital Pulau Pinang) pada era Kerajaan Negeri hari ini,” jelas Mat Jamil.

Aras Tanda
Mat Jamil berpendapat Kerajaan Negeri melalui agensi berwajib dengan kerjasama PPPMPP sepatutnya menggariskan aras tanda (benchmark).

“Pulau Pinang ini adalah negeri pelancongan, ertinya, imej penjajaan pun penting untuk dilihat.

“Contoh seperti di Padang Kota, penjajaan di kawasan larangan sejak era dahulu Kerajaan Negeri (sebelum tahun 2008) lagi. Dulu pun MPPP buat penguatkuasaan, sekarang pun sama.

“Garis panduan aktiviti penjajaan memang ada, cuma tinggal macam mana nak diamalkan oleh peniaga.

“Ada pendapat mengatakan kawasaan penjajaan tak cukup, itu pun penting untuk dilihat. Tetapi, yang lebih penting, bagaimana nak meningkatkan mutu pelanggan di kawasan penjajaan yang sedia ada.

“Sebagai contoh, wujudkan benchmark dari segi kebersihan dan mutu pelanggan yang berkualiti, hanya penjaja yang memenuhi spesifikasi benchmark ini layak untuk berniaga, tak kiralah di kawasan jaja berbumbung atau seperti di pasar malam.

“Ini secara langsung akan memberi peluang kepada penjaja-penjaja yang benar-benar komited untuk berniaga ikut benchmark negeri untuk memajukan perniagaan sendiri dan negeri,” ujar beliau.

Harapan
Mat Jamil memberitahu bahawa kilangnya sudah menyediakan kiosk lengkap dengan peralatan membakar sate kepada mereka yang berminat untuk menjadi rakan niaga.

“Bayar RM1,500 sahaja boeh dapat semua ini. Harga borong secucuk sate ayam 35 sen dan boleh dijual dengan harga 50 sen.

(Harga borong secucuk) sate daging 45 sen dan boleh dijual 50 sen. (Harga borong secucuk) sate perut 60 sen dan boleh dijual dengan harga RM1.

“Dari awal kilang ini dibuka lagi, kita tak buat pinjaman bank kerana kita nak memajukan secara berperingkat.

“Kalau di Selangor terkenal dengan Satay Samuri Kajang, di Pulau Pinang biarlah Satay Ibrahim menjadi satu lagi identiti makanan
enak negeri di negara ini…kalau boleh di luar negara,” nyatanya.

Tambah Mat Jamil, beliau sendiri baru berbincang dengan Penasihat Koperasi Pasar Aneka Taman Selat, Zolkifly Md. Lazim mengenai pengalaman koperasi itu mewujudkan pinjaman mikrokredit tanpa riba, sebagaimana dilaporkan oleh Buletin Mutiara sebelum ini, untuk dilaksanakan dalam PPPMPP.

Justeru, beliau berharap Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Perdagangan Dalam Negeri berwajib mungkin
boleh kolaborasi dengan Kilang Satay Ibrahim demi mengangkat jenama Pulau Pinang ke luar negeri.

Mat Jamil boleh dihubungi menerusi nombor telefon 019 – 547 5227 atau [email protected]. Kilang Satay Ibrahim di alamat No.28, Tingkat Bawah, Bandar Baru Perda, Teluk Kumbar, 11,920 Bayan Lepas, Pulau Pinang.