Struktur sementara di tapak asal – Rozali

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Sr. Rozali Mohamud menjernihkan isu ‘Menyelesaikan Masalah Penjaja Di Tempat Terbuka, Pasar Sementara Dibina Di Jalan Pegawai ’ , sebagaimana dilaporkan akhbar Bahasa Cina, Guang Ming Daily baru-baru ini.

Menurut beliau, pembinaan pasar awam sementara di Jalan Pegawai masih di peringkat kajian, serta bukan perancangan terdekat MPSP untuk memindahkan penggerai-penggerai asal Pasar Awam Bukit Mertajam ke sana.

“Perancangan terdekat yang diputuskan adalah untuk membina sebuah struktur sementara di atas tapak asal bagi menempatkan penggerai-penggerai Pasar Awam Bukit Mertajam (di situ),” jelasnya mewakili Yang di-Pertua MPSP MPSP, Maimunah Mohd. Sharif kepada wartawan di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini.

Hadir sama, Ahli Majlis MPSP, Tan Cheong Eng.

Rozali memberitahu, pihaknya tidak boleh membuat kerja-kerja pembersihan serta pemajuan struktur sementara di tapak asal Pasar Awam Bukit Mertajam itu sehinggalah mendapat laporan forensik dan surat penyerahan semula bangunan daripada pasukan Bomba dan Penyelamat.

Terdahulu, laporan Guang Ming Daily seakan menggambarkan kesemua penggerai Pasar Awam Bukit Mertajam akan dipindahkan ke struktur sementara dekat Jalan Pegawai, yang tidak jauh dari tapak asal pasar tersebut.

Rozali cuba menjernihkan tanggapan itu pada sidang media di sini baru-baru ini.

Pasar Awam Bukit Mertajam pada awal pagi 4 Februari lepas terlibat dalam satu ‘kebakaran besar’ dan Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng semasa melawat lokasi kejadian mengumumkan kelulusan segera RM20 juta untuk pemajuan semula pusat komersial berusia lebih 55 tahun tersebut.