Bersama promosi foto seni Pekan Lama Butterworth, seru YDP

SEBERANG JAYA – Agensi pelancongan dan hotel serta hartanah diseru untuk sama-sama bergiat aktif dalam mempromosikan foto-foto seni yang memaparkan Pekan Lama Butterworth melalui saluran media sosial khas yang disediakan.

Seruan tersebut dibuat Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Star Sanctuary Seberang Perai Photography (SSSPP) Awards dekat ibu pejabat MPSP di sini baru-baru ini.

Katanya, perkara tersebut adalah perlu untuk menjadikan Butterworth sebagai hab pengangkutan, kesenian dan kebudayaan di wilayah Koridor Utara.

“SSSPP ini dilihat mampu mempromosikan dan menghidupkan kembali Pekan Lama Butterworth.

“Impak daripada program-program yang dijalankan oleh MPSP seperti Butterworth Fringe Festival (BFF), Heritage Walk dan sebagainya telah menunjukkan peningkatan Nilai Kasar Domestik (GDV) sebanyak 2.3 kali ganda berbanding tahun 2015, iaitu RM132,500,000 kepada RM306,858,693 pada tahun 2017,” ujarnya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis MPSP.

Tambah Rozali, jika melancong ke negara-negara maju, gambar hiasan berlatarbelakangkan budaya tempatan sebenarnya boleh dilihat dan ditemui di hotel-hotel yang merupakan salah satu medium dalam mempromosikan pelancongan setempat.

Penganjuran pertandingan kali kedua tersebut memperlihatkan penyertaan sebanyak 984 peserta, yang mana ia dibahagikan kepada empat kategori iaitu profesional, penduduk Seberang Perai, pelajar sekolah menengah 13 hingga 20 tahun dan media sosial.

Bagi Kategori Profesional, Foong Poh Seng berjaya muncul johan, manakala Ng Wai Meng (Kategori Penduduk Seberang Perai).

Nurul Ain Sheirah Norazmein dari Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kawan mengondol juara Kategori Pelajar Sekolah Menengah 13 hingga 20 tahun dan Lim Lean Eng (Kategori Media Sosial).

Dalam pada itu, Nurul Ain ketika ditemui memberitahu, ia merupakan penyertaan beliau yang kedua.

“Alhamdulillah dua kali dah jadi juara… saya memang ada minat mendalam dalam bidang ini, dan berhasrat untuk mendalami lagi ilmu fotografi,” jelasnya kepada Buletin Mutiara